suria

Empat kereta institut memandu disita selepas 'perangai' pengajar sambil lewa

Gambar hiasan guru memandu.

TINDAKAN sambil lewa empat pengajar di sebuah institut memandu di sini yang membiarkan calon memandu bersendirian di litar membawa padah apabila kereta mereka disita oleh Jabatan Pengangkutan Jalan dalam satu operasi pada Isnin.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi), Zamakhshari Hanipah berkata dalam operasi selama lima jam itu pihaknya turut mengeluarkan sebanyak 13 notis kepada pengajar di institut memandu berkenaan.

"Selain membiarkan calon memandu sendirian, antara kesalahan lain yang dilakukan oleh pengajar di sini ialah merokok, tidak memakai tali pinggang keledar, cukai jalan kenderaan tamat tempoh dan insurans kenderaan tamat tempoh.

"Bagi kesalahan membiarkan calon memandu secara bersendirian, kereta mereka telah kami sita, semua kesalahan disiasat di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam sidang akhbar selepas operasi berkenaan.

Tambah Zamakhshari satu notis turut dikeluarkan kepada seorang calon kerana menggunakan lesen L yang telah tamat tempoh.

Katanya lagi, operasi khas ke atas institut memandu telah dijalankan secara berkala oleh JPJ sejak 2016 bagi memastikan ia mematuhi peraturan dan kualiti yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Pelesenan Institut Memandu.

Tambah beliau mengikut data terkini, terdapat 226 institut memandu beroperasi di seluruh negara.

"Ia penting kerana kita mahu melahirkan pemandu yang kompeten yang mematuhi peraturan jalan raya yang sekaligus dapat mengurangkan kadar kemalangan," katanya.- Bernama

kereta disita, pengajar

Artikel Lain