suria

Anugerah Star Golden Hearts ke-5: Pencalonan wira tak didendang negara kini dibuka

Program Star Golden Hearts yang dilancarkan di Galeri Star, Menara Star pada Isnin.

KUMPULAN Media Star Berhad bersama Yayasan Gamuda melancarkan Anugerah Star Golden Hearts untuk edisi kelima bagi meraikan rakyat Malaysia yang memberikan komitmen luar biasa menerusi kerja-kerja sosial, selain mempromosi aspek perpaduan dalam setiap aktiviti tanpa mengira agama dan latar belakang.

Pemegang amanah Yayasan Perpaduan Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye meminta rakyat seluruh negara yang mengenali mana-mana pihak yang berkorban untuk membantu golongan tidak berkemampuan ini dapat mencalonkan mereka untuk dipertimbangkan bagi Anugerah Star Golden Hearts.

"Dengan melihat pengalaman mereka dalam kerja-kerja sosial ini, ia boleh memberikan sesuatu yang positif serta sebagai sumber inspirasi.

"Golongan seperti mereka ini sebenarnya jarang dikenali ramai maka melalui program ini, ia boleh membuka ruang kepada orang ramai untuk lebih mengenali wira yang tak didendang ini," katanya yang mengetuai panel hakim untuk anugerah itu.

Selain Lam Thye, barisan juri untuk tahun ini termasuk Sharifah Alauyah Wan Othman mewakili Yayasan Gamuda); Ketua Pegawai Kandungan The Star, Esther Ng; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kebajikan Negara, Datin Paduka Che Asmah Ibrahim; Pengerusi Yayasan AIDS Malaysia, Profesor Datuk Dr. Adeeba Kamarulzaman; aktivis sosial, Syed Azmi Alhabshi dan Perunding Perlindungan Kanak-Kanak, Vijaya Kumari Pillai.

Beliau juga mengharapkan penyertaan yang lebih ramai bagi 2019 ini untuk memeriahkan dan menjayakan usaha murni ini.

"Inspirasi sebegini yang perlu diteruskan dan diharap untuk kali ini calon dari berbeza kaum dapat diketengahkan bagi memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia," ujarnya.

Pencalonan terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia secara individu atau berkumpulan bermula hari ini sehingga 15 Julai 2019.

Anugerah Star Golden Hearts ini dianjurkan untuk kali keempat dengan kerjasama Yayasan Star, Kumpulan Media The Star dengan kerjasama Yayasan Gamuda.

Orang ramai boleh membuat pencalonan yang dibuka sehingga 15 Julai depan di sini.

Artikel Lain