Dua individu didakwa berasingan selepas muat naik komen jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong - Semasa | mStar

Dua individu didakwa berasingan selepas muat naik komen jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong

Gambar hiasan

DUA individu didakwa secara berasingan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan menghina Yang di-Pertuan Agong di Facebook.

T. R. Thurkai Devi, 32, dan Sharil Mohd Sarif, 36, mengaku tidak bersalah selepas tuduhan dibacakan kepada mereka di hadapan hakim Shamsudin Abdullah.

Menurut keterangan itu, Thurkai Devi didakwa memuat naik posting jelik dengan menggunakan profil Facebook "Thurkai Devi Tangga Raja" antara pukul 5.57 pagi pada 3 Jun, 2018 dan 3.54 pagi pada 4 Jun 2018.

Posting itu dibaca di laman Facebook "Belenggu Fatamorgana" di pejabat bahagian undang-undang (D5), Jabatan Siasatan, aras 14, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada 11.47 pagi 4 Jun 2018.

Sementara itu, Sharil pula didakwa menggunakan profil Facebook "Sharil Chain" dan memuat naik catatan keterlaluan berserta gambar senarai Yang di-Pertuan Agong dengan niat untuk menyinggung orang lain pada pukul 1 petang 12 Mac.

Posting itu dibaca di pejabat bahagian siasatan siber dan multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (CCID), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada pukul 11.30 pagi 13 Mac.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membawa hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas disabitkan kesalahan.

Tindakan Sharil boleh menyebabkan ketidakharmonian dalam masyarakat. Setiap hari, ada penghinaan terhadap institusi kerajaan, Nabi dan agama di media sosial.

MUHAMMAD ASYRAF

Timbalan Pendakwaraya

Timbalan pendakwaraya, Mohd Sophian Zakaria dan Muhamad Asyraf Md Kamal tidak menawarkan ikat jamin bagi setiap kes atas alasan bahawa mereka telah melakukan kesalahan berat dengan menghina pemimpin tertinggi negara.

"Tindakan Sharil boleh menyebabkan ketidakharmonian dalam masyarakat. Setiap hari, ada penghinaan terhadap institusi kerajaan, Nabi dan agama di media sosial.

"Jaminan rendah akan memberikan gambaran bahawa kelakuan menghina bukan satu kesalahan serius," kata Muhammad Asyraf.

Mohd Sophian berkata, tindakan Thurkai Devi adalah serius kerana telah menghina Yang di-Pertuan Agong dengan menempatkannya sebagai individu yang tidak mempunyai kedudukan di negara ini.

Peguam M. Dinesh, yang mewakili kedua-dua tertuduh, meminta mahkamah memberi jaminan atas alasan mereka tidak didapati bersalah dan telah memberikan kerjasama semasa siasatan berjalan.

Mahkamah kemudian menetapkan masing-masing dikenakan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan kes itu ditetapkan untuk sebutan pada 8 April. - The Star

Artikel Sebelum

Artikel Lain