suria

Penguatkuasaan penuh Julai ini, mana ada tangguh!

Papan tanda larangan merokok jelas kelihatan di sebuah kedai makanan. Foto Bernama

MEDIA sosial kecoh mengenai khabar angin bahawa larangan merokok di premis makanan ditangguhkan.

Dakwaan itu nampaknya menggembirakan perokok kerana mereka boleh kembali ‘mengeteh’ sambil merokok di restoran tanpa melakukan kesalahan.

Bagaimanapun, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menafikan mesej bahawa mahkamah telah memerintahkan larangan merokok di tempat makan ditangguhkan, yang kini tular melalui platform media sosial kepada orang awam.

“KKM ingin menegaskan bahawa sehingga kini tiada sebarang arahan daripada mahkamah bagi memberhentikan atau menangguhkan aktiviti penguatkuasaan larangan merokok di tempat makan,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan, petang Sabtu.

Sehubungan itu Dr Noor Hisham berkata, semua pihak diingatkan agar terus mematuhi peraturan tersebut dan KKM akan terus menjalankan aktiviti penguatkuasaan pendidikan sehingga Jun depan. 

Menurutnya, arahan itu diikuti dengan penguatkuasaan sepenuhnya pada Julai tahun ini. 

Tambah beliau, pelaksanaan larangan merokok di tempat makan dibuat selaras dengan komitmen Malaysia terhadap Perkara 8 Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau (FCTC) oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Semua lapisan masyarakat diminta menerima pelaksanaan larangan merokok ini sebagai satu langkah yang positif bagi meningkatkan tahap kesihatan seluruh rakyat Malaysia. 

“Pelaksanaan ini juga dapat membudayakan amalan tidak merokok terutama dalam kalangan kanak-kanak dan remaja, selaras dengan hasrat kerajaan bagi mencapai sebuah negara yang bebas daripada sebarang bentuk amalan merokok,” ujar Dr Noor Hisham.

Bermula 1 Januari lalu, semua tempat makan sama ada berhawa dingin atau tidak, adalah diwartakan sebagai tempat dilarang merokok.

Larangan itu mengikut pindaan pewartaan tempat makan di bawah Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT 2004), bertujuan melindungi orang awam terutama golongan bukan perokok daripada terdedah kepada bahaya asap rokok.

Artikel Lain