suria

‘Sultan Malaysia’ dibebaskan, kertas siasatan masih belum lengkap

'Sultan Malaysia' dibebaskan dengan jaminan polis. - Foto Front Desk

SEORANG lelaki yang mendakwa dirinya sebagai “Sultan Malaysia” atau ‘tuan punya' kerajaan Malaysia dibebaskan dengan jaminan polis setelah direman bermula  13 Jan lepas bagi membantu siasatan membabitkan kesalahan memperdaya dan tujuan menipu.

Ketua Polis Daerah Jasin, DSP Arshad Abu berkata  individu yang berusia, 47 tahun dibebaskan dengan jaminan polis selama sebulan bersama  seorang penjamin yang merupakan bapa mertua suspek.

"Suspek dilepaskan hari ini (Ahad) memandangkan bahawa kertas siasatan masih belum lengkap dan tempoh reman tamat hari ini,” katanya menerusi satu kenyataan pada Ahad.

ARTKEL BERKAITAN: Cicit aristokrat Johor mahu tuntut harta pusaka lebih RM300 bilion

Beliau berkata kes tersebut akan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara untuk mendapat arahan lanjut.

Lelaki itu sebelum ini mengadakan sidang media di Sungai Rambai pada 13 Jan lepas dan mendakwa bahawa beliau adalah ‘tuan punya' (pemilik)  Kerajaan Malaysia dan layak untuk menuntut jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri Malaysia.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan dan polis telah merakam percakapan 20 individu bagi membantu siasatan terhadap suspek yang mempunyai empat rekod lampau di bawah kesalahan kes penipuan, curi dalam bangunan dan gagal memberi keterangan di Perak sebelum ini. - Bernama

Sultan Malaysia

Artikel Lain