suria

Kutipan kasar cukai langsung meningkat tanda keberkesanan kepimpinan kerajaan PH

Gambar hiasan

KUTIPAN kasar cukai langsung Malaysia bagi tahun lalu meningkat 11.13 % berbanding tahun sebelumnya.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan bahawa Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengutip sebanyak RM137 bilion pada 2018, sekali gus menunjukkan peningkatan kira-kira RM13 bilion dari 2017.

Kutipan tersebut adalah rekod baharu dalam kutipan cukai langsung.

ARTIKEL BERKAITAN: Cukai baharu bakal diperkenalkan demi bayar hutang negara

Jumlah yang dikumpulkan memecahkan rekod yang ditetapkan pada 2014, iaitu RM133.7 bilion.

"Kenaikan ini disebabkan peningkatan kutipan daripada komponen pembayar cukai seperti syarikat, individu, petroleum, koperasi, duti setem dan lain-lain," kata Guan Eng dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau menambah bahawa kenaikan kutipan cukai langsung mencerminkan keberkesanan kepimpinan yang bersih, dan pertumbuhan ekonomi yang menggalakkan pada tahun 2018.

Cukai korporat adalah komponen terbesar kutipan cukai langsung, menyumbang RM70.03 bilion atau 51.11 % cukai langsung.

Guan Eng menyifatkan kenaikan cukai langsung mencerminkan keberkesanan kepimpinan yang bersih.

Ini diikuti oleh komponen cukai individu yang menyumbang sebanyak RM36.06 bilion atau 26.32% daripada cukai langsung.

Menteri itu berkata, prestasi kutipan tersebut adalah hasil daripada strategi berkaitan cukai yang berkesan selepas dilaksanakan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Beliau menambah bahawa strategi tersebut termasuk meningkatkan aktiviti penguatkuasaan cukai yang mempunyai program pendidikan cukai yang lebih fokus.

PH turut membaiki proses mengenakan sekatan perjalanan ke atas pembayar cukai yang mempunyai tunggakan cukai.

Beliau juga menggesa pembayar cukai yang mempunyai tunggakan cukai untuk menyertai Program Pendedahan Sukarela Khas agar mereka hanya dikenakan kadar penalti sebanyak 10% dan 15%.

Selepas program itu berakhir pada 30 Jun tahun ini, pembayar cukai dengan isu pematuhan akan dikenakan kadar penalti sebanyak 80% hingga 300%. - The Star

cukai langsung, LHDN, Guan Eng

Artikel Lain