suria

AirAsia jangka mula operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka tahun ini

Gambar hiasan

MELAKA: Syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia Berhad (AirAsia) dijangka akan memulakan operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM), Batu Berendam dengan membuka sekurang-kurangnya satu laluan domestik atau antarabangsa pada tahun ini.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam Melaka, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab berkata antara laluan berpotensi yang dicadangkan AirAsia ialah Melaka-Langkawi dan Melaka-Bandar Seri Begawan selain laluan sedia ada iaitu Melaka-Pulau Pinang dan Melaka-Pekan Baru yang kini dikendalikan Malindo Air.

Pembukaan laluan baharu berkenaan menerusi kerjasama dengan AirAsia itu merupakan salah satu usaha kerajaan negeri untuk membuka lebih banyak laluan penerbangan di LTAM selain menjayakan Tahun Melawat Melaka 2019.

"Perbincangan telah dilakukan bersama AirAsia yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Riad Asmat di RedQ KLIA2 hari ini (Jumaat) dan turut disertai wakil daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia, Malaysia Airport Holding Berhad dan Unit Perancangan Ekonomi Negeri Melaka termasuk tawaran kerajaan negeri Melaka kepada AirAsia untuk membuka laluan penerbangan di LTAM.

"Pertemuan tadi menghasilkan keputusan yang positif apabila AirAsia menyatakan kesediaan untuk memulakan operasi penerbangan membabitkan sekurang-kurangnya satu laluan penerbangan pada tahun ini dan usaha berkenaan akan diteruskan menerusi satu perbincangan lanjut agar ia menjadi kenyataan" katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sekiranya pengoperasian AirAsia di LTAM berjaya direalisasikan, ia mampu meningkatkan hasil ekonomi Melaka menerusi penambahan bilangan pelancong ke negeri itu dan sekali gus meningkatkan lagi kegiatan ekonomi penduduk setempat, katanya.

Sementara itu, katanya kerajaan negeri komited untuk membantu dan bekerjsama dengan syarikat penerbangan tempatan atau antarabangsa bagi menjadikan LTAM sebagai hab penerbangan terunggul di selatan Semenanjung Malaysia. - Bernama

AirAsia

Artikel Berikut

Harga petrol, diesel naik!

Artikel Lain