Maszlee masih tunggu laporan guru 'duka lara' daripada JPN - Semasa | mStar

Maszlee masih tunggu laporan guru 'duka lara' daripada JPN

Dr Maszlee masih menunggu laporan berhubung guru 'duka lara'. - Foto Bernama

LIPIS: Kementerian Pendidikan masih menunggu laporan daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) berhubung jumlah guru ‘duka lara' di negara ini.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata beliau masih belum menerima laporan lengkap berhubung guru yang mengalami masalah berjauhan daripada keluarga.

"Setakat ini, saya belum terima lagi laporan dan kami (Kementerian Pendidikan) masih menunggu (laporan lengkap) mengenai isu dan jumlah guru yang berdepan situasi sama," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Ustazah hilang: Kementerian Pendidikan tunggu laporan JPN PP

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan mesra di pasar pagi Kuala Medang dekat sini, hari ini sempena kempen pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands, 26 Jan ini.

Sementara itu, mengulas mengenai insiden seorang ustazah yang hilang selama empat hari, sejak Isnin lalu, sebelum ditemui di Kuala Kangsar, Perak, petang semalam, Maszlee berkata, pihaknya masih menunggu laporan berhubung kejadian itu daripada JPN Pulau Pinang.

Sebelum ini, akhbar melaporkan kehilangan Nur Farhana Ibrahim, 27, yang disedari suaminya selepas ustazah itu tidak pulang ke rumah mereka di Langgar, Kedah pada petang Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supt A. Anbalagan dilaporkan berkata suami mangsa memaklumkan isterinya itu pernah menerima rawatan kemurungan pada tahun 2014 kerana dipercayai berpunca terpaksa berulang alik setiap hari dari Langgar (Alor Setar) ke Balik Pulau (Pulau Pinang) untuk mengajar di sekolah berkenaan.

Jarak sehala Langgar ke Balik Pulau kira-kira 100 kilometer dan difahamkan ustazah itu sudah beberapa kali memohon untuk berpindah ke Kedah supaya lebih dekat dengan keluarganya.

Kali terakhir beliau hadir ke sekolah pada 14 Jan, dan lebih kurang 1.30 tengah hari, difahamkan guru berkenaan keluar dari kawasan sekolah mengikut pintu belakang sekolah itu dan menghilangkan diri. - Bernama

guru duka lara

Artikel Sebelum

Harga petrol, diesel naik!

Artikel Berikut

PRK Semenyih 2 Mac

Lebih Artikel

Ibu muda lahirkan bayi kembar tujuh

Sah! Empat penjuru PRK Semenyih