“I dah tak boleh menyusu, otot ‘breast’ pun rosak” - Awas promosi murah besarkan payudara di laman sosial - Semasa | mStar

“I dah tak boleh menyusu, otot ‘breast’ pun rosak” - Awas promosi murah besarkan payudara di laman sosial

PETALING JAYA: Ibarat 'sudah jatuh ditimpa tangga'. Begitulah nasib seorang gadis yang mendakwa pakar kecantikan yang ditemuinya enggan bertanggungjawab terhadap kesan buruk yang dialaminya selepas membuat rawatan membesarkan payudara (breast filler) dengannya baru-baru ini.

Susulan itu, mangsa yang hanya dikenali sebagai Rara mengugut pakar kecantikan tersebut untuk menularkan mesej perbualan mereka.

Malangnya, mangsa berusia 25 tahun itu pula didakwa cuba memfitnah pakar kecantikan berkenaan yang turut menawarkan produk pemutih kulit.

Kisah malang Rara dengan beberapa paparan skrin mesej perbualannya dengan pakar kecantikan yang ditemuinya kecoh diperkatakan netizen.

Bukan itu sahaja, surat yang dikeluarkan oleh sebuah sebuah hospital swasta mengenai keadaan payudaranya turut tular.

Berdasarkan perbualan dalam paparan skrin yang tular, Rara mendakwa terpaksa menghabiskan ribuan ringgit untuk merawat jangkitan kuman pada buah dadanya.

Malah, Rara mendakwa aset pentingnya itu turut rosak dan dia perlu menjalani pembedahan membuang kedua-dua payudaranya.

Bercerita mengenai kisahnya itu, Rara mendakwa pakar kecantikan tersebut melakukan rawatan membesarkan payudara itu di hotel.

Surat doktor mengenai keadaan payudara Rara turut tular di Facebook.

Dakwanya lagi, alat-alat yang digunakan semasa rawatan itu juga tidak bersih.

"Barang dia guna tak bersih... dengan campak-campak kat dalam luggage... buat pun kat hotel.

"Serius geram g*** dengan dia... next i operate nak kena buang breast... i dah tak boleh menyusu... otot breast pun dah rosak. Doktor nak gantikan dengan otot perut... i dah tak boleh mengandung juga," tulis gadis tersebut.

Tinjauan mStar Online mendapati semakin ramai 'doktor' atau pakar kecantikan tidak bertauliah kini menawarkan perkhidmatan membesarkan payudara secara terbuka menerusi Instagram.

Rata-rata harga yang ditawarkan juga agak murah berbanding kos ditetapkan di klinik perubatan estetik yang diluluskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Mereka juga sering menawarkan harga promosi tidak masuk akal untuk memancing pelanggan yang mengimpikan payudara besar.

Berdasarkan posting promosi, pelanggan hanya perlu membayar RM1,690 (selepas diskaun) untuk setiap suntikan 300 mililiter Hyaluronic Acid bagi kedua-dua belah payudara.

Salah seorang individu yang mendakwa dirinya pakar kecantikan ketika dihubungi berkata pelanggan hanya perlu membayar wang deposit sebanyak RM200 atau 50 peratus dari kos rawatan untuk menempah rawatan tersebut dengan harga promosi.

Antara iklan rawatan membesarkan payudara yang dipromosikan secara terbuka di Instagram.

Malah, dia mendakwa mereka boleh melakukan rawatan tersebut mengikut lokasi yang ditetapkan pelanggan meskipun mereka berpangkalan di utara tanah air.

Ditanya mengenai risiko rawatan berkenaan, wanita tersebut mendakwa ia tidak memudaratkan kerana mereka amat menitikberatkan soal kebersihan.

Wanita itu turut mendakwa rawatan tersebut turut dilakukan oleh 'orang perubatan'.

Bukan sahaja rawatan membesarkan payudara, wanita tersebut turut menawarkan perkhidmatan menyuntik filler pada alat sulit dan juga punggung selain pembedahan pada hidung.

Rawatan dinamakan hidung patung barbie pula ditawarkan pada harga kurang RM1,500, jauh lebih rendah berbanding klinik perubatan estetik yang diluluskan KKM.

payu dara , filler

Artikel Lain