suria

Nafi guna helikopter, Mat Sabu minta Najib semak fakta sebelum buat tuduhan

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan Mohamad Sabu menafikan dakwaan bahawa beliau menggunakan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands.

Sehubungan itu, beliau meminta bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyemak terlebih dahulu fakta sebelum membuat tuduhan terhadap beliau.

Katanya gambar yang memaparkan beliau dengan berlatarbelakangkan helikopter merupakan lawatan rasminya ke Kem Slim, Cameron Highlands pada 9 Januari, tiga hari sebelum penamaan calon PRK kawasan Parlimen itu.

Jelasnya, beliau yang juga Presiden Amanah menaiki kereta persendirian ke Cameron Highlands pada hari penamaan calon, Sabtu lepas.

“Saya hairan bekas perdana menteri boleh berfikiran standard macam orang lain, sepatutnya dia semak dahulu fakta itu. Sebagai bekas perdana menteri kita hendak hormat dia.

“Tetapi kalau dia juga macam orang lain, saya rasa tidak apalah...kesian tengok orang bertaraf begitu mengambil maklumat tepi jalan,” katanya kepada Bernama selepas program bual bicara Bernama News Channel.

Beliau mengulas hantaran di Facebook Najib mengenai gambar yang tular di media sosial mengaitkan Mohamad menggunakan helikopter ATM untuk berkempen pada PRK tersebut.

Mohamad berkata anggota tentera ditemuinya di Kem Slim juga bukan merupakan pengundi Parlimen Cameron Highlands, sebaliknya pengundi Parlimen Sungai Petani, Kedah.

Dalam pada itu, Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan malam ini berkata dua gambar yang tular di media sosial adalah pada hari dan tarikh berlainan.

“Gambar pertama yang berlatarbelakangkan helikopter adalah lawatan rasmi beliau sebagai Menteri Pertahanan ke Kem Slim, Cameron Highlands pada Rabu, 9 Januari 2019. Beliau telah pulang ke Kuala Lumpur pada hari yang sama selepas selesai lawatan.

“Gambar kedua yang memaparkan beliau ke penamaan calon PRK Cameron Highlands adalah pada hari Sabtu, 12 Januari 2019. Beliau bertolak ke Cameron Highlands pada 11 Januari menggunakan jalan darat dengan menaiki kenderaan persendirian dan pulang ke Kuala Lumpur selepas selesai penamaan calon,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut dakwaan bahawa Mohamad menggunakan kenderaan rasmi kerajaan untuk berkempen di Cameron Highlands baru-baru ini, adalah tidak benar sama sekali, dan sehubungan itu mana-mana pihak perlu memeriksa terlebih dahulu untuk kesahihan maklumat sebelum menyebarkan perkara tidak benar.- BERNAMA.

Artikel Lain