suria

Bersatu parti alternatif jauh lebih baik daripada Umno - Mohd Radzi

Mohd Radzi Md Jidin.

PUTRAJAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak akan menggantikan Umno, sebaliknya akan menjadi parti alternatif pilihan orang Melayu dan bumiputera yang jauh lebih baik.

Ketua Penerangan Bersatu, Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, dinamik politik semasa menunjukkan ramai orang Melayu mula menerima Bersatu selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Saya tiada angka sebenar (keahlian) tetapi jumlah itu meningkat ketara selepas PRU14. Jadi kami yakin orang Melayu akan melihat kita sebagai (parti) alternatif yang boleh membantu mereka malah lebih baik daripada Umno.

“Umno, Bersatu dan PAS menumpukan satu pasaran yang sama (orang Melayu dan Bumiputra) jadi apabila Barisan Nasional (BN) kalah pada PRU14, Umno secara keseluruhannya tidak lagi kuasai kerajaan, banyak isu penyelewengan diperjelaskan dan satu persatu kebenaran timbul.

“Apabila ini berlaku ramai antara mereka (pemimpin dan ahli Umno) cari platform baharu. Pilihan semulajadinya adalah Bersatu. Kalau mereka nak sertai PAS dah lama dah, tak perlu tunggu sekarang. Jadi itulah apa yang berlaku pada hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu temu bual bersama media menjelang Perhimpunan Agung Tertinggi Bersatu di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Mohd Radzi menyangkal persepsi orang ramai bahawa Bersatu terburu-buru menerima kemasukan bekas ahli dan pemimpin Umno kerana kerapuhan parti itu di dalam Parlimen.

Dr Mahathir (kanan) dilantik sebagai perdana menteri ketujuh selepas Pakatan Rakyat memenangi PRU14, Mei lalu.

“Tidak timbul isu kerapuhan. Pakatan Harapan dibentuk dengan satu kerjasama erat bahawasanya Tun Dr Mahathir akan dilantik sebagai perdana menteri. Itu tawaran kita kepada pengundi sebelum PRU14.

“Tidak timbul parti sikit jadi perdana menteri dan sebagainya kerana itulah yang dijanjikan. Apabila kita ke medan perang PRU14, siapa jeneral kita? Masyarakat akan lihat siapa jeneral kita.

“Dan jelas pada masa itu panglima bawa Pakatan Harapan sekiranya memerintah Malaysia adalah Tun Dr Mahathir… jadi tak timbul kalau kita dapat 13 kerusi dan sebagainya,” kata Mohd Radzi yang juga Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Beliau berkata kejayaan Bersatu memenangi 13 kerusi Parlimen pada usia setahun jagung adalah satu pencapaian membanggakan.

“Dengan kewangan yang amat terhad… masa yang terhad, sebuah parti berusia setahun jagung dapat 13 kerusi , itu satu kejayaan.

“Kejayaan Pakatan Harapan bukan kejayaan Bersatu, bukan hanya kejayaan PKR, bukan hanya kejayaan Amanah, bukan hanya kejayaan DAP tapi kejayaan bersama.

“Setiap parti menyumbang kepada kejayaan bersama. Prinsip yang perlu kita selami sebelum kita menang… jika kita menang pemimpin yang akan memimpin kita adalah Tun Dr Mahathir,” katanya.

Mengenai Perhimpunan Agung Bersatu yang akan membuka tirainya pada 28 hingga 30 Disember ini, Mohd Radzi berkata seramai 1,550 perwakilan akan menghadiri perhimpunan kali kedua itu.

Seramai 1,550 perwakilan akan menghadiri Perhimpunan Agung Bersatu kali kedua yang akan berlangsung pada 28 hingga 30 Disember ini.

“Kita akan bermula dengan perasmian perhimpunan sayap (Srikandi dan Angkatan Bersatu Anak Muda - Armada) pada malam 28 Disember.

“Persidangan sayap pada 29 Disember manakala sebelah malam pula akan berlangsung perasmian Perhimpunan Agung Bersatu kali kedua dan ucapan dasar oleh Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kemudian disusuli usul menyokong ucapan dasar dan usul dibawa jurucakap parti di sepanjang persidangan itu nanti,” katanya.

Mengenai usul yang akan dibahas pada perhimpunan itu nanti, Mohd Radzi berkata Bersatu sedang meneliti perkara tersebut.

“Kita masih kaji… masih dapatkan gambaran umum. Kami terbuka menerima pandangan perwakilan di peringkat Bahagian dan Cawangan yang disampaikan kepada ibu pejabat parti untuk dipertimbangkan pada perhimpunan kali ini.

“Antara yang disentuh sudah tentunya usul berkaitan ekonomi, penglibatan Bumiputera dan isu agama seperti mana kita lihat hari ini,” katanya.

Sementara itu, Mohd Radzi berkata sesi perbahasan akan dijalan secara tertutup sepanjang perhimpunan tersebut berlangsung.

“Selepas mengambil kira pelbagai pertimbangan tentang kebaikan dan keburukannya, pihak kepimpinan buat keputusan ia diadakan secara tertutup.

“Tapi jangan bimbang, kita akan ada sesi bersama media selepas perbahasan untuk memaklumkan rangkuman intipati perbahasan. Kita akan cuba jadi setelus yang mungkin,” katanya.

Mohd Radzi, Bersatu

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain