suria

“Nama saya bukan Muhammad Sajjad…”

PETALING JAYA: Usahawan kosmetik, Nur Sajat tampil memberi penjelasan berhubung kekecohan mengenai pendedahan namanya ketika dihadapkan ke mahkamah membabitkan kesalahan Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) 2014.

Bercakap kepada mStar Online, Nur Sajat berkata, laporan media yang menyebut nama beliau sebagai Muhammad Sajjad Kamaruzzaman adalah tidak benar.

"Bukan, tak betul. Nama saya bukan Muhammad Sajjad tapi nama penuh saya Sajat Kamaruzzaman.

"Nama dalam IC (kad pengenalan) hanya S... A... J... A... T... Kamaruzaman. Tak ada Muhammad pun," katanya ketika dihubungi pada tengah hari Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN: Gagal bayar cukai, Sajat akan didakwa

ARTIKEL BERKAITAN: Akhirnya Jakim Dedah Identiti Sajat

Mengenai Nur Sajat, ahli perniagaan berusia 33 tahun itu berkata, ia sekadar nama panggilan di laman sosialnya seperti Instagram dan penggunaan nama syarikat miliknya.

Dalam pada itu, Nur Sajat mempertikaikan  laporan media yang hanya menyebut namanya saja sedangkan kes GST tersebut membabitkan syarikat kosmetiknya.

"Kes tersebut antara syarikat saya dengan mahkamah dan Kastam (Jabatan Kastam Diraja Malaysia), kenapa mereka (media) tak sebut nama syarikat saya?

"Okay, saya tahu (nama disebut) sebab saya adalah selebriti dan ramai mengenali saya, tetapi mereka sebut nama saya pun salah," katanya.

Nur Sajat hadir ke Mahkamah Sesyen Shah Alam, Rabu. Foto: Bernama

Malah beliau mendakwa membawa kad pengenalannya ke mahkamah pada Rabu.

"Kan kad pengenalan tu penting. Saya biasanya tak bawa IC bila ke luar negara, sebab saya bawa pasport," tegasnya.

Sehubungan itu, beliau yang juga mengusahakan perniagaan emas meminta masyarakat terutama netizen tidak berterusan membuat tuduhan atau melemparkan kata-kata yang mengaibkan sebelum mendapatkan sumber sahih terlebih dahulu.

Ditanya adakah beliau sedia menunjukkan kad pengenalannya bagi mendedahkan nama sebenar kepada umum tanpa mendedahkan butiran lain pada dokumen pengenalan tersebut, Nur Sajat berkata, tiada sebab mustahak untuk beliau berbuat demikian.

"Kenapa saya kena tunjuk IC semata-mata nak puaskan hati mereka. Nanti orang salah guna, sekarang ni dah makin ramai scammer (penipu), jadi saya perlu lebih berwaspada. 

"Kad pengenalan adalah dokumen pengenalan peribadi, kenapa kena tunjuk kat orang ramai? Jadi, hormatilah privasi saya," katanya sambil menambah akan mendapatkan khidmat nasihat peguamnya sekiranya terdapat isu yang boleh menjejaskan reputasinya sebagai usahawan.

Pada Rabu, Nur Sajat didenda RM2,700 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam selepas mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan gagal mengemukakan penyata GST kepada Ketua Pengarah Kastam Malaysia.

Mengikut semua pertuduhan, Nur Sajat didakwa gagal mengemukakan penyata perniagaan kepada Ketua Pengarah Kastam Malaysia mengikut cara yang ditetapkan sepanjang 1 April 2015 hingga 30 Jun 2015, 1 Oktober 2015 hingga 31 Disember 2015 dan 1 Januari 2016 hingga 31 Mac 2016.

Nur Sajat didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kompleks Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Kelana Jaya, Petaling Jaya, antara 22 Oktober 2015 hingga 16 Jun 2016.

Beliau dihukum mengikut Seksyen 41 (6) Akta GST yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Kastam, Noor Asyikin Md Rodhi sementara ahli perniagaan itu tidak diwakili peguam.

Nur Sajat, Muhammad Sajjad, GST

Artikel Lain