suria

Terengganu kekal had umur minimum 16 tahun bagi perempuan berkahwin

Gambar hiasan

KUALA TERENGGANU: Had umur minimum untuk berkahwin bagi orang Islam di Terengganu kekal pada 18 tahun bagi lelaki dan 16 tahun bagi perempuan, seperti yang ditetapkan dalam Seksyen 8 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Terengganu) 2017.

Ketua Hakim Syarie Terengganu Wan Mohd Zakri Wan Mohd berkata bagaimanapun pihaknya tidak akan sewenang-wenangnya memberi kelulusan kepada permohonan untuk perkahwinan di bawah umur kecuali atas tiga faktor iaitu perempuan tersebut telah melahirkan anak, sedang mengandung atau pasangan tersebut telah terlanjur.

Beliau berkata pihaknya hanya menerima 444 permohonan untuk perkahwinan di bawah umur sejak 2013 hingga 2018 dan daripada jumlah itu, 397 permohonan diluluskan.

"Kelulusan diberi hanya untuk permohonan berdasarkan tiga faktor ini kerana ia mempunyai kesan kepada anak yang dikandung atau dilahirkan itu dari segi pewarisan harta, wali dan faraid. 

"Selain itu, kita tidak terima apa juga alasan mereka walaupun kad jemputan kahwin telah diedarkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian Bantuan Pendahuluan Nafkah Anak, Bahagian Sokongan Keluarga, Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu kali kedua 2018 yang disempurnakan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Maliaman Kassim di sini pada Khamis.

Mengikut rekod Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu, 444 permohonan untuk berkahwin bawah umur itu melibatkan seramai 522 kanak-kanak iaitu 155 pemohon berumur 17 tahun, 40 orang (16 tahun), 277 orang (15 tahun), 40 orang (14 tahun) dan 10 orang (13 tahun).

Wan Mohd Zakri berkata antara alasan yang sering diberi untuk permohonan perkahwinan bawah umur ini ialah suka sama suka, ingin berkahwin, meringankan beban keluarga dan mengelak maksiat.

"Daripada 444 permohonan itu, sebanyak 405 permohonan melibatkan seorang pemohon bawah umur (kebiasaannya perempuan) manakala 39 kes lagi melibatkan kedua-dua pemohon bawah umur.

"Di Terengganu, permohonan untuk perkahwinan bawah umur semakin menurun setiap tahun dan tidak membimbangkan. Adalah lebih baik mereka berkahwin pada usia yang selayaknya kecuali atas sebab tiga faktor tadi," katanya. - Bernama

had umur perkahwinan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain