suria

Keluarga niat bersedekah, tunaikan badal haji buat Adib

Timbalan Pengerusi Karangkraf Datuk Muhammad Nasir Hamzah (tiga, kiri) menyampaikan cek kepada ibu bapa anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib, Mohd Kassim Abd Hamid (dua, kanan) dan Asma Aziz (kanan) pada penyampaian sumbangan Kutipan Tabung #SaveAdibKassim di Kampung Tebengau, Kuala Kedah,Khamis. Turut hadir, Penolong Pesuruhjaya Bomba, Timbalan Pengarah Bomba Selangor, Hassan As'ari Omar (dua, kiri) dan Ketua Zon Kota Setar PgKB I Wan Mohd Hamizi Mohd Zin (kiri).

KUALA KEDAH: Keluarga kepada anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, bercadang menunaikan badal haji.

Ibunya, Asma Aziz, 51, berkata, hasil sumbangan daripada orang ramai yang diterima akan digunakan untuk kebajikan dan ibadat anak keduanya itu.

Menurutnya, sebahagian lagi akan digunakan untuk bersedekah atas nama Muhammad Adib, 24.

“Kemungkinan makcik nak tunaikan haji untuk Allahyarham. Sumbangan yang diterima akan disedekahkan untuk kebajikan atas nama Adib, selebihnya mungkin beli tanah wakaf,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di Kampung Tebengau Tepi Laut, Khamis.

Asma turut bercadang memberi sedekah sebahagian sumbangan kepada pembinaan Masjid As Saadah, di Kampung Tebengau yang kini dalam pembinaan.

“Mereka nak besarkan masjid itu, dalam pembinaan,” katanya.

Terdahulu diadakan majlis penyerahan kutipan Tabung #Pray4AdibKassim, sebuah inisiatif @SinarOnline yang berjaya mengutip RM47,209.64 kepada keluarga Muhammad Adib.

Majlis penyerahan disampaikan Timbalan Pengerusi Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah dan Pengurus Kanan Komunikasi Korporat, Hashim Anang kepada bapa Allahyarham, Mohd Kassim Abdul Hamid.

Allahyarham Muhammad Adib cedera parah akibat diserang dalam kejadian rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, pada 27 November lalu.

Setelah 20 hari bertarung nyawa, wira negara itu akhirnya menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN), jam 9.41 malam, Isnin lalu.

Sebelum ini, Tabung #Pray4AdibKassim dilancarkan sebagai tanda prihatin dan bagi mengurangkan beban keluarga mangsa.-SinarHarian







Adib, haji, Asma

Artikel Sebelum

Artikel Lain