suria

Ibu tunggal anak 5 dipenjara akibat pecah amanah RM1.2 juta

KUALA LUMPUR: Seorang ibu tunggal dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan pecah amanah wang kutipan harian sebuah syarikat telekomunikasi berjumlah RM1.2 juta, tahun lepas.

Hakim Zamri Bakar menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap Asmira Ariffin, 42, bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan hukuman itu berjalan serentak bermula hari ini.

Wanita itu kelihatan tenang semasa mahkamah menjatuhkan hukuman.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, dia didakwa sebagai seorang pengurus jabatan wang kutipan syarikat U-Mobile (ketika kejadian) yang diamanahkan dengan wang kutipan harian U-Mobile Cawangan Berjaya Times Square iaitu RM720,005.40 dan RM570,753.50 telah melakukan pecah amanah terhadap wang tersebut.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di U-Mobile Sdn Bhd cawangan Berjaya Times Square, aras bawah Berjaya Times Square, Jalan Imbi di sini antara 18 Ogos 2015 dan 21 April 2017. Dia dihukum mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 14 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Norashikin Ibrahim memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran terhadap tertuduh. Bagaimanapun, Asmira yang diwakili peguam Zulkefli Omar memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya tidak mempunyai kesalahan lampau.

“Anak guam saya merupakan ibu tunggal kepada lima orang anak berusia antara 18 hingga 10 tahun. Dia telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan ini lagi,” katanya.

Mengikut fakta kes, pengarah servis korporat U-Mobile HQ, Berjaya Times Square telah membuat laporan polis setelah siasatan dalaman syarikat itu mendapati terdapat keraguan pada laporan bil syarikat itu.

Siasatan lanjut mendapati pada Ogos 2015 sehingga April 2017, hasil kutipan sebanyak RM1,290,758.00  daripada pusat service U-Mobile Berjaya Times Square tidak dimasukkan ke dalam akaun syarikat.

Pada masa itu, tertuduh merupakan pengurus Jabatan Pengutipan Wang yang bertanggungjawab untuk menguruskan wang syarikat U-Mobile dan memastikan wang itu dimasukkan ke dalam akaun syarikat.

Hasil semakan akaun syarikat mendapati wang tersebut tidak dimasukkan ke dalam akaun berkenaan.—- Bernama 



pecah amanah, U-Mobile

Artikel Lain