suria

Zahid serah tugas kepada Mohamad, tetapi kekal jadi orang Nombor 1 Umno

Tugas presiden kini digalas oleh Mohamad. - Bernama

PETALING JAYA: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi masih menjadi presiden Umno walaupun telah mewakilkan tugasnya kepada timbalannya, dan beliau akan kekal sebagai ketua pembangkang di Parlimen.

Pegawai parti tersebut berkata, beliau kekal sebagai orang nombor satu Umno dan bercuti daripada menjalankan tugasnya sebagai presiden.

Ahmad Zahid pada Selasa berkata, beliau akan memberi laluan tetapi tidak menyebut berapa lama Datuk Seri Mohamad Hasan akan menjalankan tugasnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Presiden Umno: Zahid serah tugas kepada Mat Hassan

Persoalannya sekarang adalah berapa lama orang nombor dua Umno akan bertanggungjawab ke atas parti itu, kerana Ahmad Zahid tidak meletakkan jawatan.

"Perkara itu akan menjadi topik utama dalam mesyuarat majlis tertinggi parti yang akan diadakan esok (Jumaat)," kata ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

"Kami akan membincangkan keputusan Datuk Seri Zahid untuk bercuti, dan apakah tumpuan yang perlu diberikan kepada Umno selepas keputusan itu," kata Asyraf Wajdi kepada The Star ketika ditemui selepas menghadiri mesyuarat jawatankuasa pengurusan parti di ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur.

Ahmad Zahid dipilih sebagai presiden Umno pada pilihan raya parti itu pada Jun.

Tetapi tindakan wakil rakyat dan ahli Umno meninggalkan parti secara beramai-ramai selepas pilihan raya umum 9 Mei telah menimbulkan keraguan ke atas kepimpinannya. - The Star

Ahmad Zahid

Artikel Lain