suria

"Nak tunai janji kongsi kejayaan dengan arwah ayah" - Pelajar cemerlang PT3

Zahra menziarahi pusara arwah bapanya selepas menerima keputusan PT3. FOTO: Twitter: @lewlzara

PETALING JAYA: Tanpa kapsyen yang panjang, foto seorang pelajar perempuan lengkap beruniform sekolah duduk di sisi sebuah pusara sudah cukup untuk meruntun jiwa sesiapa sahaja yang melihatnya.

Malah, foto yang mula tular di laman Twitter sejak Khamis itu juga seolah-olah menyimpan 1,001 kisah yang mungkin tidak diketahui sesiapa.

Tuan empunya badan, Zahra Al-Haiyyan Md Nor sewaktu dihubungi mStar Online berkata, dia menziarahi kubur arwah bapanya sejurus menerima keputusan Peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), pada Khamis.

"Setelah ambil keputusan PT3, saya terus ke kubur arwah ayah bersama ibu, tapi setiap hari nak pergi sekolah pun memang akan lalu tapak perkuburan tu.

"Saya pergi semalam sebab dah janji dengan arwah ayah, walau sekecil mana pun kejayaan saya, saya mahu kongsi dengan arwah sebab dia banyak beri sokongan kepada saya.

"Alhamdulillah, mak saya pun gembira semalam. Saya sasarkan untuk dapat 6A sahaja, tapi akhirnya dapat 8A 2B," ujar penuntut Sekolah Menengah Kebangsaan King George V, Seremban itu.

Zahra bersama ibunya, Rozita Kamil.

Tambah Zahra lagi, dia menyifatkan kejayaan itu sebagai satu hadiah buat ibunya, Rozita Kamil, 58, yang bertungkus-lumus membesarkannya selepas kematian bapa, pada 2014.

Malah katanya, dia juga berusaha sebaik mungkin untuk memberi kegembiraan buat ibunya yang tidak pernah jemu menjaga dia dan adik beradik yang lain.

"Ibu sentiasa mencari ruang dan waktu untuk bersama saya, dia sentiasa berusaha menguruskan pengangkutan saya ke kelas malam, ke sekolah, ke tuisyen, dan sanggup mengorbankan masa rehatnya untuk bawa saya membeli buku rujukan walaupun kedai agak jauh dari rumah.

"Setiap kali saya bangun malam, mesti sejadah terbentang mendengar umi merintih kepada Tuhan. Saya rasa saya bukanlah seorang yang kuat belajar, tetapi melihat umi berusaha keras untuk membesarkan anak-anaknya seorang diri, saya rasa keputusan yang cemerlang ini telah membuatkan dia sebagai wanita paling bahagia di dunia," luah Zahra lagi.

Posting Zahra yang tular di Twitter.

Dalam pada itu, anak bongsu dari 10 adik beradik itu berkata, dia menyimpan hasrat untuk menjadi juruterbang selepas menamatkan persekolahan kelak.

"Waktu penerbangan terakhir dengan ayah, masa tu kami balik ke Kedah, saya bagitahu dia saya nak jadi pramugari.

"Tapi arwah ayah suruh belajar bersungguh-sungguh dan jadi juruterbang," katanya lagi.

Pada Khamis, perkongsian foto Zahra di laman Twitter ternyata menarik perhatian ramai sehingga menerima hampir 3,000 tanda suka (like).

Malah, rata-rata netizen turut mengucapkan tahniah di atas pencapaian gadis itu yang berjaya memperoleh kejayaan cemerlang dalam PT3.

"U did very well sayang. Untung umi dengan ayah sebab ada anak sebaik adik. Semoga Allah tempatkan orang yang adik sayang bersama orang yang beriman

"Terus kuat ye, jangan putus asa. Tahniah, akak doakan segala urusan adik dipermudahkan. Just in case u need someone, im always here tau," tulis seorang pelayar Twitter.

Zahra Al-Haiyyan Md Nor, PT3

Artikel Berikut

Artikel Lain