suria

KJ sokong gesa Zahid berundur, mahu pemilihan baharu Umno

Gambar fail Khairy Jamaluddin.

PETALING JAYA: Khairy Jamaluddin menyokong gesaan supaya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berundur daripada memegang jawatan sebagai presiden Umno dan mahu pemilihan baharu parti diadakan.

Ahli Parlimen Rembau itu bersetuju, malah mengulang kicau satu posting yang menggesa kepimpinan parti untuk menjalankan mesyuarat tergempar bagi mendesak perletakan jawatan presiden dan memilih pemimpin baharu.

"Pemuda, Puteri, Wanita dan Majlis Tertinggi Umno perlu menuntut perletakan Zahid Hamidi," menurut pengguna Twitter @SyedRifqi99, yang merujuk kepada sayap -pemuda dan wanita.

"Selain itu, Umno perlu segera mengadakan EGM (Mesyuarat Agung Luar Biasa dan menjalankan pemilihan parti untuk kepimpinan baharu.

"Hanya ahli Umno yang boleh selamatkan Umno – PPBM (Parti Pribumi Bersatu Malaysia), Anwar (Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim) atau PAS tidak boleh selamatkan kita," tambah @SyedRifqi99.

Memberi maklum balas kepada posting berkenaan, Khairy menulis: "Setuju. Segerakan pemilihan parti".

Khairy yang merupakan bekas ketua Pemuda Umno, tewas dengan Ahmad Zahid dalam pemilihan jawatan tertinggi parti pada Jun lalu.

Pada Khamis, Pemuda Umno Sabah turut menggesa Ahmad Zahid berundur bagi membolehkan parti terus maju.

Naib ketuanya, Ghazalie Ansing berkata, presiden parti tidak lagi dihormati oleh ahli dan pemimpin Umno.

Pada Oktober, Pemuda Umno mencadangkan Ahmad Zahid supaya bercuti sehingga kes mahkamahnya selesai.

Terdahulu, Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah terhadap 45 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram, melibatkan dana sebuah yayasan.

Beliau berdepan 10 pertuduhan pecah amanah wang milik Yayasan Akal Budi dan lapan tuduhan rasuah berjumlah RM42 juta. 

Selain itu, beliau turut didakwa atas 27 tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM72 juta. - The Star

Artikel Lain