suria

Isa Samad didakwa pecah amanah, 9 pertuduhan rasuah lebih RM3 juta

Mohd Isa mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan itu dibacakan. - Bernama

KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad pada Jumaat didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta bagi meluluskan pembelian sebuah hotel di Kuching, Sarawak oleh Syarikat Felda Investment Corporation (FIC) Sdn Bhd.

Bagaimanapun, Mohd Isa, 69, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan itu dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Azura Alwi.

Bagi pertuduhan pertama, Mohd Isa didakwa sebagai Pengarah Syarikat Felda Investment Corporation Sdn Bhd, yang diamanahkan dengan dana syarikat itu telah melakukan pecah amanah ke atas dana tersebut dengan meluluskan cadangan pembelian Merdeka Palace Hotel  and  Suites di Kuching, Sarawak dengan harga RM160 juta tanpa kelulusan Anggota Lembaga Pengarah Felda.

Perbuatan itu bertentangan dengan keputusan Mesyuarat Anggota Lembaga Pengarah Felda Bilangan 303 bertarikh 25 Jun 2013 yang dibuat berkenaan pelaksanaan amanah itu yang mana Anggota Lembaga Pengarah Felda memberi mandat kepada Anggota Lembaga Pengarah Syarikat FIC Sdn Bhd dalam membuat keputusan pelaburan melibatkan projek bernilai RM100 juta ke bawah.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Tingkat 50, Menara Felda, Platinum Park, No. 11, Persiaran KLCC dekat sini pada 29 April 2014 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua hingga ke-10, Mohd Isa didakwa telah secara rasuah menerima suatu suapan untuk dirinya iaitu wang tunai, yang kesemunya berjumlah RM3,090,000 daripada Ikhwan Zaidel iaitu Anggota Lembaga Pengarah Syarikat Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd melalui Muhammad Zahid Md Arip sebagai upah bagi membantu meluluskan pembelian Merdeka Palace Hotel  and  Suites di Kuching oleh pihak Syarikat FIC Sdn Bhd yang bernilai RM160 juta.

Dia dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No. 11, Persiaran KLCC dekat sini antara 21 Julai 2014 dan 11 Dis 2015.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Datuk Umar Saifuddin Jaafar manakala Mohd Isa diwakili peguam Datuk K. Kumaraendran dan peguam Ridha Abdah Subri. - Bernama

Isa Samad

Artikel Lain