suria

Rafizi saran kerajaan turunkan harga RON95

Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran menurunkan harga RON95 kepada RM2.10 sesuai dengan gambaran harga semasa minyak mentah dunia.

Bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, semakan kembali harga RON95 wajar kerana harga minyak mentah kekal sekitar USD60 setong.

“Walaupun Kerajaan Persekutuan telah membelanjakan sehingga RM3.4 bilion dalam bentuk subsidi semasa harga minyak mentah melonjak tinggi dahulu untuk kekalkan harga, pada dasarnya harga yang ditetapkan mestilah sama atau kurang daripada harga formula untuk mengelakkan rakyat daripada membayar cukai itu atas pemberlian RON95.

Oleh yang demikian, saya menyeru supaya kerajaan Persekutuan menyemak kembali harga RON95 yang ditetapkan dalam keadaan harga minyak mentah yang kekal sekitar USD60 setong.

“Adalah lebih wajar jika harga RON95 diturunkan 10 sen supaya harga yang ditetapkan itu menggambarkan harga semasa minyak mentah dunia,” katanya dalam satu kenyataan, Selasa.

Katanya, sehingga kini kerajaan menanggung subsidi mingguan antara RM70 juta hingga RM220 juta seminggu untuk mengekalkan harga RON95 pada RM2.20, dalam keadaan harga minyak mentah dunia naik melambung.

“Namun sejak beberapa minggu lalu, harga minyak mentah Brent telah jatuh mendadak ekoran daripada lambakan minyak mentah dari Amerika Syarikat.

"Mengikut kiraan saya harga RON95 mengikut formula yang digunakan kerajaan telah jatuh di bawah paras RM2.20 seliter sejak tiga minggu yang lepas apabila harga minyak mentah Brent jatuh di bawah paras USD67 setong.

“Mengambil kira keadaan pasaran minyak mentah dunia yang dijangkakan akan kekal sekitar USD60 setong, ini bermakna harga RON95 mengikut formula berkemungkinan akan terus kekal di bawah RM2.20 seliter,” katanya. - Sinar Harian.

Rafizi Ramli, RON95

Artikel Berikut

Artikel Lain