suria

Tak perlu bangkit status halal haram hibah Tabung Haji

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad. FOTO: Sinar Harian.

SHAH ALAM: Tidak ada keperluan status halal haram hibah yang dibayar Tabung Haji kepada pendeposit dari tahun 2014 hingga 2017 dibangkitkan.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, dari segi hukum, pihaknya berpendapat, tidak ada apa yang perlu dibangkitkan memandangkan TH sendiri telah mempunyai panel penasihat syariah.

Menurutnya, panel penasihat syariah ini telah melihat dan menilai sebelum sesuatu keputusan berkaitan dibuat.

“Isu yang berbangkit dalam TH berkaitan pembayaran hibah dari mana duit itu diambil dan sebagainya, kita serahkan kepada kebijaksanaan panel syariah yang dilantik TH.

“Kita beri kepercayaan, kepada panel syariah TH namun jika ada apa-apa perjalanan yang tidak telus atau berlaku sebarang ketirisan, panel syariah TH patut memberi penjelasan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, Selasa.

Mohamad Shukri berkata, ada pun dari segi pengurusan TH, di luar bidang kuasa pihaknya untuk mengulas.

“Sebab, saya pun tak tahu macam mana mereka beroperasi secara keseluruhannya, jadi kalau saya ulas benda yang tak tahu dikhuatiri berlaku tidak adil.

“Sebagai orang luar, saya melihat TH ada dua sumber dana, satu pendeposit dan satu lagi perniagaannya. Jadi yang bayar hibah adalah dari perniagaan mereka.

“Dari segi pendeposit, kita jangan terburu-buru untuk mengeluarkan simpanan masing-masing. Kita beri kepercayaan kepada TH, kita tunggu dan lihat apa perkembangan selanjutnya. Mungkin perkara ini akan di bawa ke mahkamah dan sebagainya.

“Kerana TH adalah satu-satunya institusi kewangan Islam yang kukuh di negara ini dan telah membantu umat Islam (dalam urusan ibadah haji dan umrah) selama ini,” katanya lagi.

Semalam, Menteri Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof mendakwa pemberian hibah kepada pendeposit TH sejak 2014 hingga 2017 bercanggah dengan Akta Lembaga Tabung Haji 1995 menyebabkan agensi itu mengalami defisit RM4.1 bilion.

Namun perkara itu disanggah oleh bekas Pengerusi TH, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang menyifatkan perkara itu sebagai tidak tepat.

Menurutnya, setiap tahun Jabatan Audit Negara telah mengaudit seluruh bentuk pelaburan malah, memperakukannya melalui sijil bersih.

“Semenangnya ada proses itu. Kami Lembaga Pengarah TH berpandukan laporan Jabatan Audit Negara.

“Saya ingin tegaskan bahawa pengurusan TH terdahulu tidak melanggar akta berkenaan dan tidak melakukan apa-apa kesalahan seperti yang didakwa,” katanya dalam sidang media, di lobi Parlimen, hari ini. - Sinar Harian.

Artikel Lain