suria

Najib tak mengaku arah pinda Laporan Akhir Pengauditan 1MDB

Datuk Seri Najib Tun Razak.

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak memohon dibicarakan di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan meminda Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bekas perdana menteri itu dituduh menggunakan kedudukannya sebagai perdana menteri ketika itu untuk mendapatkan suapan iaitu perlindungan daripada tindakan tatatertib sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Tindakan itu adalah dengan mengarahkan laporan akhir pengauditan 1MDB yang sedang disediakan dipinda sebelum laporan berkenaan dimuktamadkan dan dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam Negara (PAC).

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, antara 22 hingga 26 Februari 2016.

Tuduhan di bawah Seksyen 28 (1) (c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Najib yang diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengaku tidak bersalah dihadapan Hakim Azura Alwi.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Gopal Sri Ram dan Ahmad Akram Gharib.

Mahkamah membenarkan Najib diikat jamin RM500,000 dengan seorang penjamin dan perbicaraan semula ditetapkan 4 Januari depan.

Terdahulu, Arul Kanda Kandasamy juga mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan.

Datuk Seri Najib Tun Razak, 1MDB

Artikel Lain