suria

Dua serangan keganasan dirancang untuk Januari 2019

PETALING JAYA: Dua plot keganasan yang dirancang untuk dilakukan pada bulan depan berjaya dipatahkan pihak berkuasa dengan penahahan dua suspek militan di Kelantan.

Lokasi sasaran serangan berkenaan merupakan balai polis di Kelantan dan rumah ibadat bukan Islam.

Menurut sumber, suspek, seorang penjual madu berusia 28 tahun dan kakitangan sekolah memandu berusia 35 tahun merancang untuk menggunakan peranti letupan (IED) yang diubah suai sendiri pada sasaran mereka.

Mereka melaksanakan arahan dari Akel Zainal yang telah berjuang untuk Islamic State (IS) di Syria sejak 3 Januari 2014.

"Penjual madu itu diarahkan untuk menyerang balai polis di Kelantan termasuklah rumah ibadat bukan Islam di Lembah Klang. Pihak berkuasa percaya dia bertindak sendirian," ujar sumber berkenaan.

Tambahnya lagi, persiapan untuk serangan itu juga sudah siap sekitar 60 peratus.

Sementara itu, kakitangan sekolah memandu itu pula terlibat dalam penyeludupan senjata api dari negara jiran.

"Dia juga belajar membuat IED. Pihak berkuasa percaya yang dia menyertai IS sejak tahun lalu," kata sumber itu lagi.

Mereka antara tujuh supek yang ditahan oleh Bahagian Anti Keganasan antara 19 dan 28 November lalu.

Lima lagi militan termasuklah tiga rakyat Malaysia termasuk seorang perempuan, dan dua lelaki Filipina.

Mereka ditahan di Sabah, Selangor dan Kedah.

Salah seorang lelaki Filipina yang berusia 45 tahun merupakan ahli kumpulan Abu Sayyaf.

Dipercayai suspek yang ditahan di Tawau sudah bersembunyi di negeri itu sejak 2011.

Suspek lain yang ditahan termasuklah atas kesalahan menyalurkan dana kepada kumpulan keganasan, seperti IS.

Militan, IS

Artikel Lain