suria

Empat sahabat karib rentung hari pertama kerja sambilan cari duit poket

Mohammad Nor Ikram (dua, kiri) dan Mohd Ekmal (dua, kanan) terkorban dalam kejadian kebakaran pada Selasa.

IPOH: Empat daripada enam mangsa yang ditemui rentung di sebuah rumah kedai di kawasan perindustrian Jelapang Maju, Jelapang, pada Selasa ialah pelajar yang bekerja sambilan sempena cuti sekolah.

Mohammad Nor Ikram Mohd Husni, 15; Mohamad Ekmal Izzuddin Mohamad Kamari, 16; Mohammad Nuraiman Abdul Rahman, 16 dan Ahmad Faizal Aminuddin, 16, masing-masing pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Menglembu yang juga rakan baik dan tinggal di Kampung Seri Aman, Menglembu.

Turut terkorban, seorang lagi rakan mereka, Muhamad Azhar Shah Rosli, 19, yang sudah bekerja selama dua tahun dengan syarikat pengaturcara majlis, sementara seorang lagi, pemilik syarikat, P Thiagarajan, 40.

Ketika kejadian jam 1.50 petang itu, kesemua mangsa berada di tingkat atas bangunan untuk membuat persiapan sambutan Krismas.

Hari pertama kerja

Bapa Mohamad Ekmal Izzuddin, Mohamad Kamari Talib, 53, berkata, anak kedua daripada tiga beradik itu melakukan kerja sambilan bagi mengumpul duit untuk mengambil lesen motosikal.

Mohd Kamari Talib, tidak dapat menahan sebak ketika menunggu jenazah anaknya Mohamad Ekmal Izzuddin, 16, yang maut dalam kebakaran, di Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, pada Selasa.

Dia yang ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) terkilan apabila anaknya tidak sempat menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun depan.

“Ini baru hari pertama dia kerja, saya sedih, buat apalah pergi kerja, tahun depan dia nak SPM dan dia kata nak simpan duit untuk ambil lesen motosikal. Saya lihat dalam laci dia pun ada duit RM140,” katanya sambil menangis.

Ibu Mohammad Nor Ikram, Nor Aziah Ropandi, 43, pula berkata, anaknya itu memang ada memaklumkan mahu bekerja mencari duit lebih untuk belanja sekolah sesi depan.

Menurutnya, sebelum keluar bersama empat rakannya, anak ketujuh daripada lapan beradik itu ada meminta RM5 dan memaklumkan akan menggantikannya apabila mendapat gaji nanti.

“Saya tidak sangka perkara ini akan jadi. Acu memang anak yang baik dan selalu membantu saya, RM5 itulah permintaan terakhir dia kepada saya,” katanya.

Bapa Mohammad Nuraiman, Abdul Rahman Bahak, 45, berkata, anak sulung daripada empat beradik itu baru memulakan kerja hari ini untuk membantu keluarga.

“Saya pelik sebab hari ini dia nak hantar saya ke tempat kerja, saya tahu kejadian ini pun daripada seorang rakan,” katanya yang bekerja sebagai pemandu lori.

Dalam pada iitu, ibu Muhamad Azhar, Azizul Razlan, 48, berkata, anaknya yang mesra disapa Jaa seorang yang kuat bekerja dan sering membantu menampung perbelanjaan keluarga termasuk duit persekolahan lima adiknya.

“Sudah dua tahun dia bekerja di situ dan selalu ikut majikannya menjayakan acara di pelbagai tempat.

“Saya pula bekerja di pusat kitar semula, tak mampu untuk sara keluarga dan dia banyak bantu sama ada dari segi wang ataupun kudrat menjaga adik-adiknya,” katanya.

Saya tahu itu anak saya

Ibu Ahmad Faizal, Ropishah Muhammad, 48, berkata, walaupun mayat anaknya sukar dikenal pasti berikutan keadaannya yang rentung, namun sebagai ibu, dia boleh tahu daripada bentuk fizikal anaknya itu.

Suasana pilu menyelubungi pekarangan Jabatan Forensik HRPB, Ipoh.

“Keadaan anak teruk, tidak dapat cam, tetapi saya tahu itu anak saya,” katanya.

Sementara itu, ibu saudara Thiagarajan berkata, mangsa yang lebih dikenali dengan panggilan ‘Golden Raja’ seorang majikan yang bertanggungjawab dan mengambil berat keperluan pekerja.

“Sebagai ahli keluarga, dia juga banyak membantu keluarga dalam sebarang majlis, kalau ada majlis, dialah orang pertama yang menghulurkan bantuan tidak kira waktu.

“Dia sangat baik orangnya. Kami sekeluarga masih terkejut dan sedih dia sudah tiada lagi bersama kami,” katanya.-Sinar Harian


Meru, SMK Menglembu

Artikel Lain