suria

Hapus undang-undang bunuh diri, ia tak berkesan bantu pesakit mental - Pakar Psikiatri

PETALING JAYA: Malaysia merupakan salah satu negara yang masih meletakkan tindakan seseorang membunuh diri sebagai satu jenayah.

Susulan itu, pakar kesihatan mental tampil bagi memohon supaya undang-undang tersebut dihapuskan.

Biarpun ada pihak yang gusar penghapusan undang-undang itu bakal menggalakkan amalan bunuh diri, Profesor Madya (Psikiatri) Dr Chan Lai Fong dari Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) bagaimanapun tidak bersetuju dengan kenyataan berkenaan.

"Tiada bukti pun undang-undang itu boleh mencegah, malah ia memberi kesan yang sangat negatif dan seolah-olah meminggirkan mereka yang memerlukan bantuan," katanya.

Terdapat pelbagai punca individu membunuh diri dan ia sangat rumit termasuklah dari sudut biologi, psikologi dan sosial.

Malah katanya, boleh jadi ia adalah percubaan sebenar ataupun sebagai mesej yang mereka memerlukan bantuan dan kedua-duanya jelas menunjukkan masalah berkaitan mental.

"Tak masuk akal apabila mengatakan hukuman ini boleh mencegah gejala bunuh diri.

"Katakan anda dimasukkan ke penjara, kesengsaraan emosi yang dihadapi pasti akan bertambah dengan hukuman penjara yang dikenakan," katanya lagi.

Saksikan video penuh dan ketahui kenapa kita perlu mengkaji semula undang-undang berkenaan bunuh diri.

Artikel Lain