Najib hairan bagaimana PH selesaikan masalah Tabung Haji dalam tempoh singkat - Semasa | mStar

Najib hairan bagaimana PH selesaikan masalah Tabung Haji dalam tempoh singkat

Datuk Seri Najib Tun Razak

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hairan bagaimana PH mampu menyelesaikan masalah defisit besar Tabung Haji (TH) berjumlah RM4.1 bilion dalam jangka masa singkat.

Berkongsi laporan Sinar Harian dalam laman Facebooknya, Najib tertanya-tanya bagaimana ia mampu diselesaikan sebegitu pantas malah beliau turut berharap menteri dapat menjawab persoalannya itu.

“Saya memang tertanya tanya bagaimana PH mampu selesaikan ‘masalah defisit besar’ dalam jangka masa yang amat pendek ini. Kerajaan PH suntik RM4.1 bilion ke dalam TH? Naikkan semula nilai aset TH yang telah turunkan nilai untuk audit tahun 2017?

“Atau aset TH sudah jual? Tukar akta Tabung Haji? Naikkan harga saham untuk semua pelaburan TH dalam Bursa Malaysia walaupun harga-harga saham ternyata sudah dan sedang menurun sejak PRU14?

“Curiga betul saya. Hairan sangat saya. Harap menteri boleh jawab,” katanya.

Beliau memuat naik status berkenaan bagi mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof mengenai isu Tabung Haji (TH) dalam sidang media di Parlimen, Isnin.

Dalam sidang media tersebut, Mujahid berkata walaupun TH berdepan pelanggaran akta sejak 2014 namun dengan penstrukturan semula yang dimulakan sejak Julai 2018, beliau yakin pembayaran hibah tahun ini akan dapat dibuat.

“Rupanya, sudah ‘settle’ (selesai). Begitu cepatnya mereka menyelesaikan masalah besar defisit RM4.1 bilion akibat langkah kejam TH untuk terlebih bayar dividen empat tahun berturut-turut dari tahun 2014 sehingga 2018,” ujarnya.

Hari ini, Mujahid mendedahkan pengurusan lama TH melanggar Akta TH 1995 dalam soal pembayaran hibah kepada pendeposit sejak 2014.

Beliau berkata, terdapat dua syarat yang perlu dipatuhi melalui akta berkenaan mengikut Seksyen 22 (3)(a) iaitu aset TH mesti melebihi liabiliti dan institusi itu perlu merekodkan keuntungan setiap tahun.

Bagaimanapun menurut Mujahid, TH merekodkan defisit sebanyak RM4.1 bilion berakhir 31 Disember tahun lalu di mana menunjukkan pembayaran hibah sejak 2014 melanggar Akta TH 1995. - Sinar Harian.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut