suria

Caj akan dikenakan jika penggelap cermin kereta lebih had dibenarkan

KUALA LUMPUR: Bayaran akan dikenakan ke atas mereka yang menggunakan cermin kereta gelap melebihi had yang dibenarkan, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke (gambar).

Beliau berkata, ia adalah sebahagian daripada Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2018 yang dibentangkan di Parlimen pada Isnin dan dijangka diluluskan dan diwartakan untuk pelaksanaan pada Januari tahun depan.

Ketika ini, undang-undang membenarkan penggunaan cermin gelap sekurang-kurangnya 70 peratus Transmisi Cahaya Boleh Lihat (VLT) untuk cermin hadapan, 50 peratus untuk tingkap penumpang depan dan 30 peratus untuk tingkap penumpang belakang serta cermin belakang.

"Sekiranya anda menggelapkan cermin kereta bersesuaian dengan standard, tiada kelulusan diperlukan," katanya.

Beliau berkata, tidak semua orang yang mengemukakan permohonan untuk mempunyai tingkap kereta gelap akan diluluskan.

"Tiada kelulusan automatik kerana mereka haruslah layak untuk menggunakan penggelap cermin kereta, membuat permohonan dan membayar caj yang dikenakan," kata Menteri Pengangkutan.

Beliau berkata, pengecualian akan diberikan kepada pemilik kenderaan yang perlu menggunakan penggelap cermin kereta atas alasan perubatan.

Anthony juga berkata bahawa bayaran kecil juga akan dikenakan ke atas pengeluar kereta untuk Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA). - The Star

Artikel Lain