suria

Polis tahan 7 suspek kumpulan pengganas

KUALA LUMPUR: Polis menahan tujuh individu termasuk dua warga Filipina yang disyaki terlibat dalam kumpulan pengganas dalam operasi di Kelantan, Selangor, Sabah dan Kedah.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dalam kenyataan pada Isnin berkata, semua tangkapan itu ditahan oleh Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas PDRM dari 19 hingga 28 November lepas.

Menurutnya, tangkapan pertama seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun yang bekerja sebagai penjual madu ditahan di Kelantan pada 19 Novermber.

“Suspek menerima arahan daripada rakyat Malaysia yang menyertai kumpulan pengganas Daesh di Syria iaitu Akel Zainal untuk melancarkan serangan di negara ini,” katanya.

Beliau berkata tangkapan kedua di Kajang, Selangor pada 20 Novermber melibatkan seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun yang bekerja sebagai jurutera di sebuah syarikat minyak dan gas.

Suspek berkenaan terlibat dalam menyalurkan dana berjumlah kira-kira RM14,000 kepada rakyat Malaysia yang menyertai Daesh di Syria iaitu Muhammad Wanndy Mohamed Jedi pada 2016 dan 2017 bagi tujuan membiayai aktiviti keganasan.

Mohamad Fuzi berkata tangkapan ketiga di Tawau, Sabah pada 21 November pula melibatkan seorang lelaki warga Filipina berusia 45 tahun yang bekerja sebagai pekebun, hasil kerjasama dengan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom).

“Suspek merupakan anggota kumpulan Abu Sayyaf Group (ASG) yang terlibat dalam sekurang-kurangnya tiga siri penculikan di Selatan Filipina dan Sabah. Suspek turut disenaraikan sebagai antara individu yang dikehendaki oleh pihak berkuasa ESSCom bagi membantu siasatan kes-kes jenayah di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone),” katanya.

Tangkapan seterusnya melibatkan seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun yang bekerja sebagai kakitangan sebuah sekolah memandu ditahan di Kota Bharu, Kelantan pada 21 November lepas kerana disyaki menerima arahan daripada anggota kanan kumpulan Daesh warga Malaysia di Syria untuk melancarkan serangan ke atas orang-orang bukan Islam dan tempat-tempat ibadat orang bukan Islam di negara ini.

Menurutnya, seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun yang bekerja sebagai pemandu van kilang pula ditahan di Bedong, Kedah pada 22 November lepas.

Mohamad Fuzi berkata suspek itu terlibat dalam menyalurkan dana kepada sebuah kumpulan pengganas Pro-Daesh di Indonesia, Sel Jamaah Ansharut Daulah (JAD) yang terlibat dalam siri serangan ke atas balai polis di Jawa Tengah pada April tahun lepas.

Tangkapan terakhir di Tenom, Sabah pada 28 November melibatkan sepasang suami isteri masing-masing berusia 48 dan 40 tahun yang suaminya warga Filipina, bekerja sebagai buruh manakala isterinya seorang suri rumah warga tempatan.

Katanya pasangan suami isteri itu terlibat dalam menyembunyikan maklumat mengenai kehadiran anggota kumpulan ASG di Sabah.

Kesemua mereka ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Bab VIA – Kesalahan Berkaitan Dengan Keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747).-- Bernama

Bukit Aman, pengganas

Artikel Lain