Bank Negara kawal selia Tabung Haji mulai Januari 2019 - Mujahid - Semasa | mStar

Bank Negara kawal selia Tabung Haji mulai Januari 2019 - Mujahid

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) akan diletakkan di bawah kawal selia Bank Negara Malaysia (BNM) bermula Januari tahun depan bagi menambah baik tadbir urus organisasi berkenaan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Katanya langkah berkenaan adalah sebahagian daripada pelan pemulihan secara menyeluruh bagi memulihkan penyata kira-kira TH yang merekodkan defisit RM4.1 bilion pada 31 Disember 2017.

“Kabinet telah berbincang tentang pelan pemulihan ini dengan teliti dan memberi sokongan penuh terhadap pelan tersebut,” katanya kepada wartawan di lobi Parlimen, Isnin.

Turut hadir ialah Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Datuk Seri Zukri Samat.

Mujahid berkata antara langkah yang terkandung di dalam pelan berkenaan adalah penubuhan syarikat tujuan khas (SPV) pada bulan ini bagi mengambil alih, memulihkan dan memaksimumkan pemulihan aset yang menunjukkan prestasi lemah.

Menurutnya, antara langkah yang akan diambil SPV berkenaan adalah menjual aset yang tidak menunjukkan prestasi baik bagi memulihkan kedudukan kewangan TH.

Sementara itu, Mujahid berkata beliau yakin pembayaran dividen secara sah dapat diberikan kepada 9.2 juta pendeposit Tabung Haji pada tahun ini selepas program pemulihan dan penstrukturan yang dijalankan sejak Julai lepas, dengan kadar dividen bergantung kepada keuntungan.

Ditanya sama ada pengurusan sebelum ini akan diambil tindakan undang-undang, beliau berkata ia akan diuruskan kemudian.

“Sejak 2014 tanpa memenuhi dua syarat itu di mana mereka mendapatkan wang (Bayaran Hibah), ia akan ditangani kemudian nanti,” katanya.

Mengenai kos haji, beliau berkata kerajaan memutuskan untuk mengekalkannya seperti sebelum ini iaitu sebanyak RM9,980.

Pada 31 Disember 2017, jumlah asset keseluruhan TH ialah sebanyak RM70.3 bilion manakala jumlah liabiliti sebanyak RM74.4 bilion.–-Bernama 


Tabung Haji , Bank Negara , Mujahid

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

Derita si janda muda