suria

Kes rasuah projek solar: Rosmah lantik peguam baharu

KUALA LUMPUR: Isteri bekas Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor yang menghadapi pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM1.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak, melantik peguam baharu bagi mewakilinya.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memaklumkan demikian ketika kes itu disebut semula di hadapan Hakim Azman Ahmad yang turut dihadiri peguam Datuk Akberdin Abdul Kader dan Datuk Jagjit Singh yang baharu dilantik mewakili Rosmah.

“Saya telah dimaklumkan, barisan peguam bela yang mewakili Datin Seri Rosmah telah bertukar, barisan peguam bela (yang baharu) memohon untuk melihat dokumen (berkaitan kes) dahulu, sebelum sebutan kes untuk dipindahkan ke Mahkamah Tinggi,” kata Ahmad Akram.

Sebelum ini Rosmah diwakili peguam antaranya Datuk K. Kumaraendran dan  Datuk Geethan Ram Vincent.

Terdahulu Ahmad Akram memberitahu hari ini ditetapkan untuk sebutan bagi memohon kes tersebut dibicara bersama dengan kes bekas pegawai khas kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Rizal Mansor yang didakwa meminta dan menerima rasuah untuk dirinya dan Rosmah berhubung projek sama.

Bagaimanapun katanya pihak peguam bela Rizal telah memfailkan permohonan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi dan sebutan kes tersebut ditetapkan Rabu ini.

Ahmad Akram kemudian memohon tarikh sebutan baharu bagi menyerahkan dokumen kepada pihak pembelaan mengikut Seksyen 51A Kanun Prosedur Jenayah serta bagi mengetahui status pemindahan kes Rizal ke Mahkamah Tinggi mengikut Seksyen 417 kanun sama.

Akberdin mengesahkan pihaknya telah dilantik untuk mewakili Rosmah dan memberitahu pihaknya perlu meneliti dokumen berkaitan sebelum memberi maklum balas berkaitan kes termasuk perbicaraan bersama dan mahkamah menetapkan 11 Jan 2019 untuk sebutan semula kes.

Turut kelihatan hari ini adalah bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak serta anak lelaki mereka Mohd Ashman manakala Rosmah yang memakai baju kurung putih berbunga merah sedondon dengan selendangnya kelihatan tenang dan dilihat berborak dengan suaminya sebelum prosiding bermula.

Ketika ditemui pemberita di luar bilik bicara, Akberdin memberitahu barisan peguam  terdahulu masih mewakili Rosmah yang menghadapi 12 pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dan lima tuduhan gagal membuat penyata tuntutan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri dan pelantikan peguam baharu itu bagi membolehkan peguam terdahulu mempunyai lebih tumpuan terhadap kes pengubahan wang haram itu.

Pada 15 November lepas, Rosmah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen sama atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak, dua tahun lepas.

Rosmah didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.-- Bernama



solar, Rosmah

Artikel Lain