suria

Anwar antara 13 ahli Parlimen belum isytihar harta

PUTRAJAYA: Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Anggota Parlimen Port Dickson merupakan antara 13 anggota parlimen yang belum mengisytiharkan harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Berdasarkan Portal Pengisytiharan Harta (https://mydeclaration.sprm.gov.my/), sehingga pukul 5 petang ini, anggota parlimen itu yang memenangi pilihan raya kecil Port Dickson pada 13 Okt lepas masih belum mengisytiharkan jumlah pendapatan bulanan dan aset.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil pada satu majlis di Putrajaya awal Ahad memaklumkan terdapat 13 anggota parlimen kerajaan yang masih belum mengisytiharkan harta kepada SPRM.

Selain itu, Ketua Menteri Sabah yang juga Anggota Parlimen Semporna Datuk Seri Mohd Shafie Apdal  dan Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faisal Azumu yang merupakan Anggota Parlimen Tambun, juga   antara  yang belum mengisytiharkan harta.

Berdasarkan laman web itu, seramai tujuh anggota parlimen PKR masih belum mengisytiharkan harta.

Selain Anwar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid (Kapar), P.Prabakaran (Batu), Datuk Seri Dr Santhara (Segamat), Awang Husaini Sahari (Putatan), Ali Biju (Saratok) dan Dr Michael Teo Yu Keng (Miri).

Tiga anggota parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang belum mengisytiharkan harta selain Ahmad Faisal ialah  Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (Bagan Serai) dan Datuk Dr Shahruddin Md Salleh (Sri Gading).

Bagi Parti Warisan Sabah, selain Mohd Shafie, seorang lagi yang belum mengisytiharkan harta ialah Datuk Rozman Isli (Labuan).

Di samping itu, Presiden UPKO Datuk Seri Wilfred Madius Tangau yang merupakan anggota Parlimen Tuaran juga belum mengisytiharkan harta.

Semakan mendapati beberapa anggota parlimen hanya mengisytiharkan jumlah pendapatan bulanan tetapi tidak mengisytiharkan jumlah aset.

Mereka termasuk  Menteri pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi (Silam),  Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator P.Waytha Moorthy dan Datuk Liew Vui Keong (Batu Sapi), serta R. Sanisvara Nethaji Rayer (Jelutong), Wong Tack (Bentong), dan  Mordi Bimol (Mas Gading). - Bernama

Anwar Ibrahim

Artikel Sebelum

Artikel Lain