suria

Waytha Moorthy dakwa tiada harta untuk diisytiharkan

Waytha mendakwa pendapatannya sebagai seorang peguam sebelum ini digunakan untuk memperjuangkan nasib masyarakat India.

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri P. Waytha Moorthy hari ini berkata beliau tidak mempunyai harta untuk diisytiharkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurutnya sebagai aktivis,  semua pendapatannya sebagai seorang peguam sebelum ini telah diguna untuk memperjuangkan nasib masyarakat India sehinggakan beliau tidak dapat menyimpan wang untuk mengumpulkan harta.

"Jadi dalam 15 tahun ini, (harta) orang biasa ada la, saya dulu peguam tapi semua pendapatan saya yang lama punya saya sudah dibelanjakan," katanya di lobi Parlimen hari.

Beliau mengulas mengenai tindakannya tidak membuat pengisytiharan pendapatan sebagai menteri kepada SPRM seperti yang tercatat dalam Portal Pengisytiharan Harta (https://mydeclaration.sprm.gov.my).

Sebelum ini, media melaporkan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Anggota Parlimen Port Dickson merupakan antara 13 anggota parlimen yang belum mengisytiharkan harta kepada SPRM.

Berdasarkan Portal Pengisytiharan Harta, sehingga pukul 5 petang Ahad, anggota parlimen itu yang memenangi pilihan raya kecil Port Dickson pada 13 Okt lepas masih belum mengisytiharkan jumlah pendapatan bulanan dan aset.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil pada satu majlis di Putrajaya awal Ahad memaklumkan terdapat 13 anggota parlimen kerajaan yang masih belum mengisytiharkan harta kepada SPRM.

Selain itu, Ketua Menteri Sabah yang juga Anggota Parlimen Semporna Datuk Seri Mohd Shafie Apdal  dan Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faisal Azumu yang merupakan Anggota Parlimen Tambun, juga   antara  yang belum mengisytiharkan harta. - Bernama

Waytha Moorthy

Artikel Lain