suria

"Saya tak nak bersubahat, nanti restoran saya terlibat dosa" - Tauke kedai makan enggan derma sisa makanan untuk anjing

Memberi makan anjing sebenarnya satu amalan mulia.

KUALA LUMPUR: "Lain yang diminta lain pula yang dapat. Masyarakat kita ni lain kali jika mahu minta sesuatu untuk haiwan bernama anjing, jangan disebut perkataan anjing."

"Tetapi sebutlah untuk anak yatim atau fakir miskin pasti ramai yang tampil membantu. Nilailah sendiri mentaliti orang Malaysia."

Itulah luahan admin Facebook Persatuan Haiwan Malaysia yang menyatakan rasa kesal terhadap sikap seorang pemilik restoran yang enggan mendermakan sisa makanan dan tulang ayam untuk diberi makan kepada anjing yang diselamatkan persatuan itu.

Berdasarkan paparan skrin mesej yang dimuatnaik di Facebook, ia menunjukkan salah seorang ahli persatuan itu bertanyakan kepada pemilik restoran terbabit untuk meminta jasa baiknya mengumpul sisa makanan yang akan diambil pihaknya pada sebelah malam.

Jawapan balas pemilik restoran tersebut bagaimanapun mengejutkan ahli persatuan itu.

Menurut pemilik restoran terbabit, dia mendakwa tidak mahu bersekongkol memberikan sisa makanan kepada anjing dengan alasan 'haram'.

"Banyak tu memang banyak. Cuma kita ni orang Islam, Melayu pula tu. Saya tak nak bersekongkol dan bersubahat dalam benda haram.

"Anjing itu harap saya tak nak terlibat. Nanti restoran saya pula terlibat dosa. Benda haram ni jangan dok buatlah," demikian kata pemilik restoran tersebut dalam mesej yang dikongsi persatuan berkenaan di Facebook.

Paparan skrin mesej yang dikongsi Persatuan Haiwan Malaysia di Facebook menjadi tular di media sosial.

Posting itu menerima pelbagai reaksi dalam kalangan netizen yang rata-rata mengecam tindakan pemilik restoran berkenaan.

Pengguna Facebook Magdalina Marcos menulis: "Hulurkan bantuan bukan satu bentuk dosa. Perlu bijak bandingkan 'haram' dengan pertolongan. Kalau niat baik, pahala kita dapat."

Sementara itu, Zulhafizan berkata: "Nampak kurang pengetahuan Islam pemilik restoran di situ. Yang haramnya tak boleh memelihara anjing di dalam rumah. Tak boleh sentuh anjing sesuka hati kecuali niat ihsan. Tak boleh makan daging anjing. Kalau sentuh anjing diwajibkan bersamak."

Seorang lagi pengguna Facebook Faeez Rahim menulis: "Kalau sombong rezeki tak ke manalah jawabnya. Tunggu jelah."

Terdapat juga netizen yang mahu nama restoran tersebut didedahkan.

Bagi mendapatkan kepastian, mStar Online meminta pandangan tentang isu ini daripada individu yang lebih arif.

Wan Dazrin Wan Din.

Pendakwah muda, Wan Dazrin Wan Din atau lebih dikenali sebagai Da'i Wan berkata, memberi makan kepada anjing sebenarnya perbuatan yang mulia.

"Di sisi mazhab kita, Imam Syafi’e, anjing itu najis pada air liur dia dan pada bulu dia juga. Maka sesiapa yang tersentuh, wajib dia bersuci dengan sertu tujuh kali, yang kita sedia maklum tersebut.

"Tetapi, kalau perihal bagi makan minum pada anjing, itu perbuatan yang tiada kena mengena dengan najis pun, bersentuhan pun tidak, maka ia sebenarnya perbuatan yang mulia," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Beliau berkata Allah mewajibkan perbuatan ihsan dalam semua perkara.

"Hadis Riwayat Muslim. Juga banyak dalam kisah-kisah yang sahih, dari Nabi SAW, tentang pemuda atau pelacur yang bagi minum pada anjing, mereka diredai Allah SWT dan bahkan diampunkan dosa.

"Dengan itu, berihsan dengan haiwan, ia adalah amalan mulia. Bukanlah satu benda haram untuk dilakukan," katanya yang berpendapat pemahaman pemilik restoran itu mengenai Fekah perihal anjing belum menyeluruh.

anjing

Artikel Berikut

Artikel Lain