suria

Saya tak berhajat kekal lama, akan kotakan janji

PUTRAJAYA: Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik menjelaskan beliau telah lama memutuskan untuk melepaskan jawatan Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan mempertimbangkan beberapa perkara, termasuk menyelesaikan urusan pelantikan bakal pengganti.

Maszlee berkata, beliau terpaksa menunggu sehingga istiadat konvokesyen UIAM, yang sedang berlangsung berakhir, sebelum memberi laluan kepada pengganti yang bakal dilantik.

"Saya tidak boleh membiarkan istiadat konvensyen berlangsung tanpa ketiadaan seorang presiden. Jadi harap semua akan faham. UIAM bukan seperti universiti awam yang lain.

"Jadi bagi memastikan istiadat berjalan lancar, saya kena kekal sebagai presiden. Malah, sebelum ini pun saya sudah menjelaskan kepada media bahawa saya tidak akan kekal lama sebagai presiden UIA. Itu janji saya," katanya kepada Sinar Harian.

"Oleh itu, saya tetap akan mengotakan janji saya," kata beliau yang menjangkakan presiden baru akan dilantik akhir bulan ini.

Malah menurut Maszlee, beliau juga ada beberapa tanggungjawab yang perlu dilaksanakan termasuk pembaharuan di UIAM.

"Pada masa yang sama, saya perlu memastikan apa yang dihasratkan oleh saya dapat dilaksanakan iaitu beberapa pembaharuan pentadbiran dan kebajikan pelajar UIAM," kata beliau dengan merujuk kepada perjalanan UIAM yang tidak tertakluk kepada Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku).

Maszlee yang dilantik sebagai presiden UIAM selepas presiden sebelum itu tamat tempoh pada bulan Jun yang lalu berkata, beliau tidak ada sebarang kepentingan dalam apabila memegang jawatan presiden.

"Saya tidak ada sebarang kepentingan. Ada orang salah faham tentang hasrat saya menyandang jawatan ini. Sebagai anggota keluarga UIAM, saya hanya mahu membawa perubahan dan pembaharuan yang dihasratkan oleh banyak pihak di UIAM dan juga untuk melaksanakan janji PH di dalam manifesto untuk kebebasan akademik oleh kerana UIAM tidak terlakluk di bawah AUKU untuk dilaksanakan apa-apa perubahan," kata beliau.

Katanya, pembaharuan yang hendak dilaksanakan itu telah pun diumumkan awal bulan lalu selepas mempengerusikan mesyuarat lembaga Pengarah UIAM yang dianggotai kebanyakkannya oleh duta-duta negara-negara OIC.

Mengulas lanjut, kata beliau: "Saya juga pernah berkata bahawa apabila saya memegang jawatan ini (presiden), saya tidak akan mengambil sebarang elaun (yang diperuntukkan kepada presiden). Di mana keputusan saya ini akan menjimatkan UIAM hampir setengah juta ringgit setahun."

“Ini antara yang saya sumbang kembali kepada UIAM,” katanya.

Mengenai bakal pengganti, Maszlee berkata, calon itu seharusnya terdiri daripada seseorang yang ada latar belakang UIAM, profesional dan terkenal di lapangan antarabangsa untuk membawa imej UIAM di mata dunia.

"Saya berpandangan hanya orang UIAM yang faham tentang UIA, terutama dalam membawa pembaharuan yang dihasratkan," kata beliau yang juga mantan pensyarah UIAM.

Maszlee juga berharap pembaharuan yang hendak dibawa akan dilaksanakan secara holistik oleh badan lembaga pengelola UIAM yang bertaraf antarabangsa.

Beberapa pihak membantah pelantikan tersebut meskipun ada pihak yang mengalu-alukan keputusan atas alasan Maszlee merupakan mantan pensyarah UIAM dan mempunyai reputasi di peringkat antarabangsa.

Sebelum ini pengurusan UIAM berpandangan, Maszlee adalah calon yang ideal untuk jawatan tersebut. Ini kerana beliau merupakan seorang bekas pensyarah UIAM selain pernah mengetuai Persatuan Staf Akademik UIAM dalam memperjuangkan hak-hak dan menjamin kebajikan para pensyarah.

Ditanya mengenai tempoh melepaskan jawatan itu, Maszlee akan mengumumkan sesegera mungkin selepas segala urusan rasmi konvokesyen dan pelantikan selesai.

"Tetapi ada proses yang perlu dilalui. Ini termasuk keperluan seorang presiden ketika UIAM mengadakan majlis konvokesyen. Ini memerlukan sedikit masa. Proses pelantikan pengganti juga akan mengambil masa sedikit kerana pelantikan perlu persetujuan perdana menteri dan perkenan Sultan Pahang."

Maszlee sebelum ini pernah berkata pelantikan beliau adalah untuk mengembalikan prestasi dan kegemilangan UIAM yang semakin menurun beberapa tahun kebelakangan ini.

“Saya berhasrat supaya UIAM menjadi Oxford negara Islam. Saya sudah bertemu rektor UIAM dan berbincang perkara ini,” kata beliau. - Sinar Harian

Maszlee Malik, UIAM

Artikel Lain