suria

Suspek mandikan Zara pada hari kejadian

Zara maut selepas dua hari kritikal di Hospital Serdang.

KAJANG: Ketua Polis Daerah Kajang ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata suspek bagi kes bayi perempuan berusia 11 bulan yang maut akibat didera secara seksual mendedahkan telah memandikan mangsa pada pagi hari kejadian.

Katanya pendedahan berkenaan dibuat suspek yang juga suami kepada pengasuh bayi itu kepada pihak polis pada Isnin.

“Sebelum ini, suspek tidak mengaku dia uruskan bayi ini, namun perkembangan hari ini dia mula dedahkan telah mandikan dan salin pakaian bayi tersebut... setakat itu sahaja, suspek tidak nyatakan dia telah buat perkara tidak elok kepada mangsa,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di sini Isnin.

Beliau berkata, pihaknya kini sedang menjalankan siasatan dari semua sudut termasuk memanggil anggota keluarga mangsa dan majikan suspek berkenaan untuk membantu siasatan.

“Beberapa individu lagi akan turut dipanggil dan kita juga akan menyiasat sama ada suspek yang positif Methaphetamine mempunyai masalah mental atau tidak.

“Tempoh reman pengasuh bayi yang berakhir hari ini dan reman suspek berakhir esok akan disambung selain kes akan ditukar kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan berbanding sebelum ini yang disiasat mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2002,” katanya.

Bernama sebelum ini melaporkan, bayi tersebut Nur Muazara Ulfa Mohammad Zainal atau panggilan manjanya, Zara meninggal dunia pada kira-kira 10.30 pagi Jumaat, selepas dua hari dilaporkan kritikal di Hospital Serdang dekat sini.

Hasil bedah siasat Jabatan Patologi Hospital Serdang mendapati punca kematian mangsa disebabkan ‘impak dipercayai objek tumpul terhadap kepala', dengan tempurung kepala bayi pecah.

Pemeriksaan ke atas mangsa juga mendapati ada kesan koyakan baru pada selaput dara mangsa dan dubur mangsa juga mengalami koyakan.

Nur Muazara Ulfa

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain