suria

Pakar tangani LGBT dedah kaum isteri kantoikan pasangan nafsu songsang, “Suami ‘gentleman’ tiada kata laluan”

Gambar hiasan. Foto newnownext.com

PETALING JAYA: Status seorang pakar dalam menangani isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di laman sosial mengenai kata laluan yang ditetapkan oleh golongan suami pada telefon bimbit mereka menarik perhatian netizen.

“Suami yang gentleman (budiman) adalah mereka yang tiada password (kata laluan) di telefon bimbit, kerana tiada apa yang hendak disorokkan daripada isteri,” kata Dr Mohd Izwan Yusof yang merupakan Penolong Pengarah Kanan Cawangan Sosial, Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Komuniti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), pada Rabu.

Rata-rata netizen kurang setuju dengan kenyataan tersebut dengan alasan kata laluan adalah tambahan ciri keselamatan pada peranti, selain mengelakkan ia mudah dibuka oleh anak-anak.

Pada Khamis, Mohd Izwan mengulas lanjut mengenai statusnya itu, mengakui bahawa penggunaan kata laluan termasuk ciri keselamatan tambahan lain seperti cap jari, adalah penting untuk tujuan keselamatan, keperluan perisian dan aplikasi mudah alih, termasuk mengelakkan anak-anak bermain telefon bimbit.

Namun beliau mendedahkan bahawa sepanjang meneliti kes-kes yang diadu oleh kaum isteri, mereka hanya mengetahui kegiatan suami mereka yang terlibat dengan gejala songsang, apabila telefon pasangan berada dalam mod terbuka.

Sebelum ini, Mohd Izwan berkata, ia rata-rata tidak dapat diakses kerana telefon suami mempunyai kata laluan yang tidak diketahui isteri.

Sebagai contoh, perbualan mesra dan lucah dengan teman sejenis, aplikasi mudah alih tertentu untuk mencari teman sejenis dan perkongsian gambar yang tidak sepatutnya.

“Maka timbul cadangan di status saya semalam sebagai pencegahan awal dan ‘check balance’ kepada si suami untuk mengelakkan perlakuan yang tak sepatutnya,” katanya.

Dr Mohd Izwan Yusof. Foto Bernama

Beliau turut menjadikan contoh bahawa sekiranya suami berhasrat untuk berpoligami, adalah lebih baik berterus-terang berbanding menyembunyikannya daripada pengetahuan isteri.

“Kerana itu bagi saya, seorang suami yang budiman (gentleman), amanah dan menjaga kepercayaan yang si isteri berikan, dan jika si suami sememangnya ada kecenderungan untuk meneruskan hubungan songsang walaupun setelah berkahwin, maka dia tidak perlu berahsia daripada si isteri,” katanya.

Tambah Mohd Izwan, perkahwinan seharusnya menjadi asbab atau sebab untuk suami yang dahulunya terlibat LGBT, meninggalkan perlakuan tersebut.

Justeru, beliau meminta semua pihak mendoakan pasangan yang sedang diuji dengan gelagat pasangan sama ada yang terlibat dengan ‘makan luar’ dan hubungan songsang, terus tabah dan berdoa kepada Allah SWT.

“Berdoa agar terus kuat untuk membantu pasangan agar menyedari perbuatan mereka boleh memusnahkan rumah tangga yang dibina. Kepada Allah SWT kita berlindung dan berserah,” katanya.

Pada 29 Oktober lalu, Mohd Izwan dilaporkan memberitahu pemberita bahawa jumlah golongan homoseksual dan transgender di negara ini menunjukkan peningkatan setiap tahun.

Sebanyak 310,000 golongan homoseksual dicatatkan pada tahun ini berbanding 173,000 orang yang dicatatkan pada 2013, iaitu peningkatan hampir sekali ganda dalam tempoh lima tahun.

Bagi golongan transgender pula, katanya, dalam tempoh 20 tahun, jumlah golongan transgender menunjukkan peningkatan sebanyak 200 peratus iaitu sebanyak 30,000 orang pada tahun ini berbanding 10,000 orang pada tahun 1988.

Bagaimanapun, sehari selepas itu, Mohd Izwan menjelaskan bahawa anggaran populasi gay di negara ini seramai 310,000 orang merupakan angka yang masih belum dimuktamadkan oleh Kementerian Kesihatan.

Jakim, LGBT, songsang

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain