Polis, penjenayah hilang dalam arus deras - Semasa | mStar

Polis, penjenayah hilang dalam arus deras

Wan Mohd Arif (gambar kecil), dipercayai lemas di Sungai Paka.

DUNGUN: Seorang anggota polis dan seorang penjenayah dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Paka ketika menangkapnya di kampung Durian Mentangau, di sini, Jumaat malam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam, Konstabel Wan Mohd Arif Wan Yahya, 28, bersama suspek dikenali sebagai Zam Ayam dipercayai tergelincir di tebing sungai.

Sewaktu kejadian mangsa yang bertugas di Balai Polis Paka sedang mengejar suspek yang terlibat dalam satu kejadian kes samun di Kampung Limbong, Paka, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superitendan Baharudin Abdullah berkata, sewaktu kejadian Wan Mohd Arif bersama tiga rakan sekerja sedang melakukan intipan di sekitar kediaman suspek.

Menurutnya, menyedari kehadiran polis, suspek melarikan diri.

"Anggota terbabit mengejar suspek yang lari ke arah belakang rumah sebelum kedua-duanya tergelincir dan terjatuh ke dalam sungai.

"Rakan sekerja cuba memberi pertolongan dan menyelamatkan kedua-duanya tetapi tidak berjaya.

"Kedua-duanya dilihat berenang menyelamatkan diri tetapi arus deras menyukarkan mereka, "katanya.

Beliau berkata, setelah gagal membantu, rakan sekerja segera melaporkan kejadian kepada pegawai bertugas.

"Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Paka diketua Penolong Penguasa Bomba, Mohd Redzuan Adnan turut dikejarkan ke lokasi untuk operasi mencari serta menyelamat.

"Operasi dilakukan di sepanjang tebing sungai dan dibantu beberapa penduduk menggunakan bot," katanya.

Baharudin berkata, operasi terpaksa ditangguhkan pada pukul 3.15 pagi kerana keadaan sekeliling gelap dan berkabus menyukarkan pencarian.

"Operasi mengesan kedua-dua mangsa dilakukan semula pada pukul 7.00 pagi Sabtu.

"Unit Skuba dari Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Kemaman turut dipanggil untuk membantu melancarkan operasi," katanya. - Sinar Harian

polis , Sungai Paka

Artikel Berkaitan

Buat solat hajat untuk Wan Mohd Arif

Artikel Lain