"Mangsa tak minta bapa mereka dimaki, dihukum" - Aktivis dedah budak 4 tahun diliwat dalam bilik penuh DVD lucah - Semasa | mStar

"Mangsa tak minta bapa mereka dimaki, dihukum" - Aktivis dedah budak 4 tahun diliwat dalam bilik penuh DVD lucah

Gambar hiasan.

PETALING JAYA: Keji! Mungkin itulah perkataan paling sesuai untuk seorang bapa kandung durjana yang disyaki bukan sahaja mencabul, bahkan merogol tiga anaknya.

Malah media sosial dihujani dengan kecaman netizen terhadap suspek yang melakukan perbuatan terkutuk itu, susulan berita mengenai penahanannya pada Rabu.

Namun status yang dimuat naik aktivis sosial, Syed Azmi Alhabshi pada Rabu menarik perhatian netizen sehingga dikongsi ramai di laman sosial.

“Dulu-dulu bila saya jumpa mangsa, saya selalu tanya, nak abang Azmi bawa apa-apa tak? Kebanyakannya akan jawab nak balik rumah, nak mak, tak nak kena apa-apa lagi, nak sekolah,” katanya.

Syed Azmi yang pernah berdepan dengan mangsa bagi kes cabul dan liwat di sekolah tahfiz turut melihat mangsa meminta agar diberikan perlindungan, dan baginya doa orang teraniaya itu mustajab atau dimakbulkan Allah.

“Seorang budak lelaki jawab, ‘saya doa setiap malam pun kena juga. Mak cakap cabaran dan ujian. Saya doa juga. Kalau boleh Abang Syed doakan sekali,” katanya mengenai kes yang berlaku kurang setahun lalu.

“Sampai sekarang, bila saya baca kes macam ni, mendoakan untuk mangsa lebih baik dari sumpah seranah si tertuduh. Jadi mohon doakan untuk tiga anak-anak ini,” katanya.

Bercakap kepada mStar Online, Syed Azmi menegaskan bahawa beliau akur dengan pandangan dan reaksi masyarakat terhadap pelaku dalam kes rogol, cabul dan liwat terutama membabitkan mangsa kanak-kanak dan bawah umur.

Berkongsi pengalamannya berdepan dengan kes-kes tersebut, jelasnya, kutukan dan kecaman masyarakat itu bagaimanapun menimbulkan kekeliruan dalam kalangan mangsa di bawah usia 12 tahun, sehingga menyebabkan mereka rasa bersalah.

“Bila masyarakat atau netizen kecam minta si pelaku atau ayah mangsa dihukum, dipenjara atau dengan kata-kata yang tak elok, mangsa akan keliru dan rasa bersalah, seolah-olah mereka sendiri menjadi punca ayah mereka ditahan atau dipenjara.

“Walaupun segelintir mangsa tampil membuat aduan, tetapi niat mereka sebenarnya mahu perbuatan yang dilakukan ayah mereka itu dihentikan, tetapi tidaklah sampai ke tahap minta dihukum atau dipenjara,” katanya pada Khamis.

Syed Azmi Alhabshi.

Begitu juga dengan kes yang pernah dikendalikan Syed Azmi sebelum ini membabitkan seorang anak lelaki berusia empat tahun yang diliwat bapanya di dalam sebuah bilik dipenuhi dengan cakera padat digital (DVD) lucah.

“Dia (mangsa) masih kecil, dia tak faham perbuatan liwat tu adalah salah sebab mungkin hampir setiap hari dia tengok adegan dalam DVD lucah tu.

“Cuma apa yang dia keliru bila ayah dia kena tangkap, ramai orang marah-marah. Dia cuma faham itu ayah dia, yang menjaganya dengan penuh kasih sayang,” katanya.

Bagi Syed Azmi, beliau sering menjelaskan kepada mangsa bahawa mereka bukan punca bapa mereka dihukum, tetapi menerangkan apa yang dilakukan kepada mangsa adalah satu kesalahan.

“Saya beritahu yang ayahnya perlu ditempatkan secara berasingan untuk menghentikan kesalahan itu, bertaubat dan mendapat pengajaran.

“Jadi, mangsa-mangsa ini lebih faham bahawa ia adalah cara terbaik untuk perkara (terkutuk) itu dihentikan, dan apa yang penting untuk kita amalkan dan buat mangsa tahu adalah kita mendoakan kesejahteraan mereka dan keluarganya. 

“Biar mereka tahu yang selepas ini, dia lebih selamat dan ibu serta adik-beradiknya tidak sedih lagi, jadi mereka ada semangat untuk meneruskan kehidupan yang lebih baik,” katanya.

rogol , liwat , Syed Azmi Alhabshi

Artikel Berkaitan

Artikel Lain