suria

Terus masuk penjara! Lelaki terima padah selepas lari lokap sambut hari jadi dengan 'awek'

-Gambar hiasan

TAIPING: Gara-gara melarikan diri dari tahanan lokap kerana mahu menyambut ulang tahun kelahiran bersama teman wanita 27 Oktober lalu, pemasang jubin dipenjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, Khamis.

Tertuduh, Pang Hung Boon, 37, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya dalam bahasa Hokkien di hadapan Majistret Mohd Hairol Jemain.

Majistret memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap 29 Oktober lepas.

Mohd Hairol mengenakan hukuman penjara ke atas tertuduh kerana alasannya melarikan diri kerana mahu menyambut ulang tahun kelahirannya bersama teman wanita adalah tidak munasabah dan mencacatkan motif tertuduh ditahan.

Lelaki itu didakwa dengan sengaja melepaskan diri daripada jagaan lokap Balai Polis Taiping di sini, kerana ditahan secara sah bagi kesalahan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 (Langkah-Langkah Pencegahan Khas), kira-kira 7.32 malam, 27 Oktober lalu.

Bagi kesalahan tersebut, lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pang yang tidak diwakili peguam merayu agar mahkamah hanya mengenakan hukuman denda kerana dia perlu menjaga bapanya serta teman wanita dan anaknya.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Raihan Rithwan memohon agar mahkamah menolak rayuan tertuduh untuk dikenakan denda kerana tertuduh mempunyai empat rekod jenayah lampau pada 2014, 2015 dan 2016. -Bernama

lokap, penjara, dadah

Artikel Lain