suria

Sembilan mayat ditemukan selepas empat hari operasi SAR

GEORGETOWN: Sembilan mayat ditemukan, empat cedera dan satu lagi masih hilang selepas empat hari kejadian tanah runtuh di tapak pembinaan Lebuhraya Berkembar Jalan Bukit Kukus, Paya Terubong di sini.

Sehingga pukul 10 malam Isnin, pasukan penyelamat masih meneruskan operasi mencari dan menyelamat bagi mencari seorang lagi mangsa yang dilapor hilang dikhuatiri tertimbus dalam kejadian pada pukul 1.56 tengah hari Jumaat lepas.

“Kami akan teruskan operasi mencari sehingga mayat ke-10 ditemui. Setakat ini cuaca baik dan pencahayaan mencukupi,” kata Pengarah Bomba Pulau Pinang Saadon Moktar.

Beliau berkata lokasi pencarian mangsa yang dikenali sebagai Md Rahaz, 25, dari Bangladesh itu akan bertumpu di sektor tiga iaitu kawasan mayat kesembilan, Mohamad Uzzal, 33, dijumpai di bawah sebuah kontena yang hancur.

Kejadian di tapak pembinaan Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus itu setakat ini mengorbankan sembilan orang terdiri daripada tiga lelaki warga Indonesia, lima lelaki rakyat Bangladesh dan seorang wanita Myanmar, manakala seorang lagi lelaki Bangladesh dilapor masih hilang dikhuatiri tertimbus.

Empat – seorang lelaki dan tiga wanita - cedera iaitu Shamim, 24, dari Bangladesh yang kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Pulau Pinang dan dilapor kritikal; dua wanita Indonesia iaitu Wa Iri, 36, yang mengandung empat bulan dan Laduma, 46; serta seorang rakyat Kemboja, Norazizah, 24.

Wa Iri adalah isteri kepada Bahtiar manakala Norazizah adalah isteri Subaeri yang maut dalam kejadian itu.

Operasi hari keempat yang bermula pada pukul 8 pagi Isnin menemukan dua lagi mayat mangsa iaitu lelaki Indonesia Subaeri, 34, pada pukul 12.10 tengah hari dan Mohamad Uzzal, dari Bangladesh yang ditemui pada pukul 5 petang.

Pada Ahad, tiga mayat lelaki Bangladesh ditemukan iaitu Mohamad Abd Jalil, 31; Mithu Hossain, 30 dan Mustak Hossain, 25; manakala dua lagi mayat dijumpai pada Sabtu iaitu Bahtiar, 36, (lelaki Indonesia) dan wanita Myanmar Khin Aye Khaing, 33.
Dua mayat ditemukan pada hari pertama kejadian iaitu lelaki Bangladesh, Attrul, 35, dan Samsul Asman, 19, dari Indonesia.

Sementara itu, Norazizah ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang berkata beliau bersyukur kerana mayat suaminya dijumpai dalam keadaan sempurna.

“Syukur walaupun suami baharu sahaja ditemukan hari ini biarpun sudah empat hari kejadian ngeri itu, jenazah berada dalam keadaan sempurna," katanya selepas membuat pengecaman mayat suaminya.

Nor Azizah, 24, melihat sendiri suaminya tertimbus dalam kejadian itu. Dia yang cedera ringan juga tertimbus sehingga paras pinggang sebelum diselamatkan oleh pasukan penyelamat. -- Bernama.

Tanah Runtuh

Artikel Lain