suria

Model tudung berjuang lawan kanser, rakan dedah "dia ambil 'job' sehingga saat akhir sebelum terlantar"

Zyra menderita kanser limfoma tahap tiga.

PETALING JAYA: Siapa sangka di sebalik senyuman manis terukir di bibir, model sambilan berusia 24 tahun ini sedang bergelut dengan kanser limfoma sejak lima tahun lalu.

Walaupun keadaan kesihatan yang tidak menentu, ternyata Nur Zahirah Abd Razak seorang gadis yang kuat dan tidak pernah menunjukkan kesakitan yang dialaminya.

Menurut rakan baiknya, Nor Izza Erma Ibrahim, Nur Zahirah atau lebih mesra disapa Zyra dalam kalangan rakan-rakannya, masih lagi menerima tawaran model tudung walaupun keadaannya tidak begitu sihat, Mac lalu.

"Zyra memang kuat, dia tidak pernah tunjuk sebenarnya dia tengah sakit. Dalam keadaan dia tidak berapa sihat beberapa bulan lalu, dia masih lagi aktif ambil 'job'.

"Last 'job' dia jadi model tudung bulan Mac lalu. Saya faham niat dia nak bantu keluarga sebab ayah dia dah pencen, mak dia pula suri rumah dan dia pula anak sulung.

"Dia kalau boleh tak nak keluarga dan kawan-kawan risau. Dia cuba nak sembunyikan rasa sakit tu tapi saya tahu keadaan dia dah mula teruk waktu itu," kata Nor Izza kepada mStar Online.

Difahamkan Zyra kini menghidap kanser limfoma tahap tiga.

Nor Izza atau lebih dikenali sebagai Izza berkata Zyra kembali sakit sejak April lalu sebelum keadaannya bertambah tenat dua bulan lalu selepas terjatuh.

Zyra bersama model cilik semasa sesi penggambaran pada Januari lalu. - foto ihsan Izza

"Pada Mac lalu dia hanya bengkak di bahu tapi keadaan jadi lebih teruk selepas dia terjatuh ketika mahu solat. Sekarang bengkak itu dah merebak ke leher, tangan dan kaki kirinya.

"Akibatnya dia tak boleh bangun dan bergerak. Dia hanya mampu terbaring dan hanya boleh duduk, itu pun tak boleh lama.

"Kalau nak cakap pun tak berapa nak jelas. Jadi kita kena dengar betul-betul, " katanya.

Prihatin dengan nasib Zyra, Izza yang juga model sambilan bersama beberapa rakan lain mengadakan satu program 'photoshoot' amal bagi mengutip dana untuk menampung rawatan radioterapi rakan mereka itu.

"Kami difahamkan kos rawatan itu antara RM7,000 hingga RM8,000. Keluarganya tak mampu nak bayar kos rawatan yang tinggi itu.

"Jadi kami terpanggil untuk mengadakan program amal ini bagi membantu membiayai kos rawatannya di Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian, Kelantan nanti," katanya.

Izza berkata program tersebut akan diadakan di Boulevard Studio, Pulau Pinang pada 28 Oktober ini.

"Program amal ini terbuka kepada semua butik pengantin, model dan jurugambar yang ingin menyumbang dana kepada Zyra.

"Syaratnya, setiap butik akan dikenakan yuran sebanyak RM150 manakala jurumekap, model dan juga jurugambar hanya perlu membayar sebanyak RM20," katanya.

Izza bersama Zyra. - foto ihsan Izza

Sementara itu, ibu kepada Zyra, Lazina Busra Mohd Lazim turut meluahkan rasa terharu dengan inisiatif Izza dan rakan-rakannya untuk membantu keluarga mereka.

"Terima kasih kepada rakan-rakan Zyra, hanya Allah sahaja yang mampu membalas jasa mereka," katanya.

Lazina menyifatkan anak sulungnya itu sebagai seorang yang aktif dan amat rapat dengan tiga adiknya.

"Mak cik pun tak sangka dia kena kanser sebab Zyra ini amat aktif. Dia main futsal sewaktu sekolah menengah dulu.

"Jadi bila dapat tahu tentang penyakit itu, mak cik sedih sebab dia pun masih muda. Namun mak cik reda dengan ketentuan Allah.

"Siapa tak sedih lihat anak sendiri terlantar sakit. Mak cik hanya mampu berdoa dan berharap agar dia kembali pulih dan menjalani kehidupan normal seperti biasa," katanya.

Berita mengenai penderitaan Zyra turut mendapat perhatian netizen yang tersentuh dengan semangat gadis muda ini dalam melawan penyakitnya itu.

Rata-ratanya mendoakan agar gadis kelahiran Pulau Pinang ini segera pulih dan terus diberi kekuatan untuk mengharungi ujian besar itu.

Mereka yang sudi meringankan beban keluarga ini boleh menyalurkan bantuan menerusi akaun Maybank atas nama Lazina Busra Mohd Lazim - 109017351660.

model, kanser, Zyra

Artikel Lain