suria

Kerajaan negeri beri jaminan tiada sambutan Oktoberfest di Terengganu

Gambar hiasan. - AFP

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri telah menjelaskan bahawa tidak akan ada sambutan Oktoberfest di Terengganu, selepas netizen mengecam penganjuran acara itu.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat, Ariffin Deraman menafikan dakwaan bahawa festival arak popular itu akan diadakan di negeri yang dipimpin oleh PAS.

"Tiada siapa yang memohon untuk menganjurkan Oktoberfest di sini dan kami akan terus memantau untuk memastikan festival itu tidak dianjurkan," katanya.

Ariffin memberi reaksi terhadap kritikan netizen selepas kempen memandu anti-mabuk yang dianjurkan secara bersama oleh pengilang arak dan syarikat perkongsian pengangkutan itu tular.

Kempen tersebut menawarkan 1,000 perjalanan percuma kepada pengunjung.

Netizen merakamkan paparan skrin portal yang menawarkan perkhidmatan tersebut di setiap outlet di Terengganu dan Kelantan serta mengandaikan bahawa outlet berkenaan akan menganjurkan Oktoberfest.

Bagaimanapun, Ariffin yang juga anggota dewan Alur Limbat berkata, beberapa wakil dihantar untuk menyiasat outlet Terengganu yang terletak di Kg. Cina dan mengesahkan bahawa perayaan seperti itu tidak dianjurkan.

Pemeriksaan di portal mendedahkan bahawa senarai outlet di Terengganu dan Kelantan telah dikeluarkan.

Bantahan dalam talian tersebut dibuat tidak lama selepas pembatalan festival muzik popular itu diumumkan.

Selepas kerajaan negeri telah menutup pintu untuk rundingan, penganjur berkata perayaan itu terpaksa dibatalkan kerana festival tersebut tidak seiring dengan garis panduan yang telah diubah. - The Star

Oktoberfest

Artikel Lain