suria

“Ayah terbaring tengah line putih tapi treler, lori, kereta semua tak lalu”

Bapa Yana ditemui terbaring di tengah line putih oleh polis peronda dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah. - foto ihsan Noor Fathiah Alyana Sobri

PETALING JAYA: Kehidupan seorang bapa berubah sekelip mata gara-gara kecuaian seorang pemandu dalam kejadian langgar lari.

Jika dulu dia seorang yang sihat dan ceria, Sobri Mohd Noor, 41, kini tidak mampu bergerak dan hanya terlantar di atas katil rumahnya di Kampung Malau, Jitra, Kedah.

Anaknya, Noor Fatihah Alyana Sobri berkongsi kisah sedih kejadian malang yang menimpa bapanya yang dipercayai menjadi mangsa langgar lari pada 15 Ogos lalu di Twitter.

Posting tersebut yang dimuatnaiknya dalam satu bebenang di Twitter pada Rabu lalu diulang kicau sebanyak 18,000 kali.

Rata-rata netizen meluahkan rasa simpati mereka dan berharap agar bapa Yana pulih segera.

"Hati anak mana yang tak sedih apabila melihat bapa sendiri yang sebelum ini sihat tiba-tiba jadi orang kelainan upaya (OKU). Sukar untuk dipercayai tapi itulah hakikatnya.

"Dia tidak boleh bergerak, tempurung kepalanya bahagian depan terpaksa dibuang dan ayah hanya minum susu sahaja menggunakan saluran tiub khas ke hidung," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 tengah hari 15 Ogos lalu, Sobri yang juga kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di atas jalan raya dengan pendarahan di belakang kepala oleh polis peronda.

Yana bersama bapanya, Sobri.

Semasa kejadian yang berlaku di Jalan Bukit Kayu Hitam menuju Jitra, Kedah, bapa dua anak itu dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Bersatu untuk mengambil dokumen kerja yang tertinggal.

"Laluan nak masuk ke kawasan bukit tu memang selalu sibuk. Masa kejadian tu polis peronda macam pelik sebab treler, lori dan kereta semua tak lalu... mungkin Allah nak lindungi ayah saya.

"Ayah ditemui polis peronda terbaring dekat tengah line putih. Dia memang dah koma dekat tempat kejadian, darah keluar ikut telinga.

"Selepas polis peronda jumpa ayah, barulah jalan itu mula sibuk. Bersyukur sangat-sangat, kalau ada treler lalu masa tu tengah laju pula, tak tahu apalah nasib ayah," katanya.

Noor Fathiah Alyana atau lebih mesra disapa Yana berkata dia dimaklumkan mengenai insiden menimpa bapanya kira-kira pukul 2 petang.

"Masa kejadian saya tengah bekerja. Bermacam-macam soalan bermain di fikiran. Ayah macam mana, ok ke dia... teruk ke kemalangan tu. Kita ni dah fikir macam-macam dan hanya mampu mendoakan yang terbaik.

"Ayah dimasukkan ke zon merah di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar. Kira-kira pukul 10 malam ayah terpaksa menjalani pembedahan kerana kecederaan teruk di kepalanya.

"Pembedahan untuk membuang tempurung kepala bahagian hadapannya ambil masa lebih empat jam. Kemudian ayah ditempatkan ke ICU selama tiga minggu.

Keadaan Sobri selepas kemalangan langgar lari itu.

"Bila ayah sedar dari koma lebih tiga minggu dia seolah-olah macam baby. Dia kenal kita sekejap lepas tu tak, kadang-kadang dia panggil kita wei, elok dia ingat dia panggil saya kakak," katanya sebak.

Terkilan dengan sikap tidak bertanggungjawab pemandu terbabit, Yana meminta individu tersebut supaya tampil bertemu dengan bapanya dan memohon maaf kepada mereka sekeluarga di atas kecuaiannya itu.

"Dulu saya tak berani nak viralkan kot-kot yang langgar tu dah buat report polis tapi malangnya tak ada. Saya pun dah tunggu dekat dua bulan dah.

"Kalau jumpa dia saya tak marah, saya takkan suruh polis tangkap dia cuma nak dia mai minta maaf. Nak tanya dia pasai apa dia langgar dan pasai apa dia lari," soalnya.

Gadis berusia 21 tahun itu berkata keadaan bapanya mungkin berbeza sekiranya pemandu tersebut bertanggungjawab terhadap kesalahannya.

"Saya tak salahkan dia sebab benda dah nak jadi dan kita pun tak tau. Tapi saya sedikit terkilan.

"Kalau dia berhenti dan terus bawa ayah ke hospital mungkin keadaan ayah tidak seteruk ini," katanya yang turut meminta saksi supaya tampil ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

kemalangan, motosikal

Artikel Lain