suria

Pelajar terhibur tengok cikgu 'handsome' berpeluh ajar Matematik

PETALING JAYA: Memiliki wajah ala-ala jejaka Korea, guru berusia 22 tahun ini mencuri tumpuan apabila tampil dengan gaya sempoi semasa mengajar subjek Matematik dalam kelas tuisyen.

Berambut panjang hingga paras bahu, Uzairi Mohd Taib atau lebih mesra disapa sebagai Sir Uzairi dalam kalangan anak muridnya, turut menyelitkan unsur humor bagi menghidupkan suasana menyeronokkan di dalam setiap kelasnya.

Malah, jejaka kelahiran Kuala Lumpur ini gemar berkomunikasi secara dua hala dengan pelajarnya bagi memastikan apa yang diajar dapat difahami dengan mudah.

Menurut Uzairi, dia mendapat idea mengajar dengan pendekatan kreatif itu selepas berpengalaman belajar bersama abang iparnya, Shakib Shamsuddin yang merupakan tenaga pengajar di sebuah pusat tuisyen, yang kini menjadi tempat dia mengajar.

"Dulu saya antara pelajar yang nakal dan memang tak minat Matematik, malah keputusan setiap kali ujian memang tak berapa bagus. Tapi selepas belajar dengan abang ipar saya mula meminati subjek ini.

"Mungkin budak nakal macam saya susah nak dengar kerana saya lebih suka teknik mengajar yang santai. Dari situ saya praktikkan teknik pembelajaran interaktif sama macam abang ipar saya tapi dengan gaya tersendiri," katanya yang mula mengajar di pusat tuisyen itu pada 2013.

Bekas pelajar di Sekolah Menengah Sains Seremban itu berkata dia dapat merasai kepuasan mengajar yang sebenar apabila menggunakan pendekatan tersebut.

"Saya punya stail sangat energetik. Kalau anda tengok video saya dalam Instagram, saya akan berpeluh kerana banyak bergerak. Kadang-kadang saya menari dan menyanyi ikut kesesuaian bab terutama berkaitan formula.

"Jadi kalau saya tak berpeluh tu tak sahlah. Berpeluh itu ibarat memberi satu kepuasan kepada diri saya," katanya yang masih menyambung pengajian dalam bidang perakaunan.

Pada masa sama, Uzairi berpendapat kaedah itu relevan dipraktikkan ketika ini kerana ia sesuai dengan anak muda zaman sekarang.

"Kalau zaman dulu cikgu macam ni terkejut anak murid. Bagi saya memang kena ikut zaman, saya rasa dulu punya stail ok tapi sekarang kita tengok anak muda terdedah dengan bermacam-macam perkara.

"Mereka sudah tentu mengharapkan sesuatu yang lebih. Jadi apa yang saya buat adalah menggunakan kaedah mendidik sambil berhibur. Saya bukan sahaja jadi cikgu tapi kawan mereka," katanya.

Uzairi berkata, dia menerima respons positif dalam kalangan anak muridnya berkaitan kaedah yang digunakannya.

"Alhamdulillah, mereka (anak murid) seronok. Saya mahu pelajar rasa gembira dan faham apa yang mahu disampaikan. Dengan kaedah ini juga saya tengok ada perubahan.

"Keputusan (peperiksaan) saya tak boleh cakap semua dapat A tapi kebanyakannya tunjuk peningkatan. Maksudnya yang dapat C mungkin dapat A... yang gagal dah mula lulus," katanya.

Ditanya mengenai komen netizen yang menyifatkannya sebagai cikgu Matematik paling 'sporting' dan kacak, Uzairi menganggap ia sebagai satu penghargaan.

"Anak murid saya tak cakap saya handsome sebab di dalam kelas saya tak cover. Mungkin dalam IG nampak macam macho tapi tak pun. Saya sempoi je dengan mereka (anak murid).

"Saya boleh jadi orang paling baik dengan mereka (anak murid) tapi boleh jadi tegas juga, bergantung dengan anak murid. Tapi dari awal lagi saya dah beritahu murid saya, i can be your best friend but i also can be your worst enemy," katanya.

Uzairi turut dikenali sebagai pakar motivasi dan sering menerima undangan ke pelbagai sekolah.

"Waktu pagi saya sering dipenuhi dengan undangan ke sekolah. Gembira bila dengar daripada pihak sekolah yang terkejut dengan perubahan anak murid mereka yang excited nak belajar," katanya.

Uzairi menjadi perhatian netizen apabila videonya mengajar subjek Matematik dengan pendekatan berbeza tular di media sosial.

Netizen berpendapat teknik digunakan guru muda itu bukan sahaja berjaya mengubah persepsi orang ramai mengenai subjek Matematik yang dahulunya dianggap membosankan.

Malah ada netizen yang menyatakan hasrat mahu kembali belajar subjek tersebut kerana tertarik dengan pendekatan digunakan Uzairi.

Sir Uzairi, cikgu Matematik, tuisyen

Artikel Lain