suria

MP Jelebu tolak spekulasi keluar Umno

Gambar fail Jalaluddin Alias.

SEREMBAN: Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias menafikan spekulasi bahawa beliau merupakan salah seorang daripada 17 Ahli Parlimen Umno yang merancang untuk keluar parti, susulan peletakan jawatan Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Datuk Seri Anifah Aman.

Ahli Parlimen dan Ahli Majlis Tertinggi Umno bagi penggal pertama itu berkata, beliau tidak akan mengkhianati kepercayaan yang diberikan oleh pengundinya.

"Saya tidak pernah merancang dan tidak mahu keluar dari Umno. Ia tidak pernah terlintas dalam fikiran saya," katanya.

Mustapa yang merupakan Ahli Parlimen Jeli mengumumkan keluar parti pada Khamis malam, manakala Ahli Parlimen Kimanis, Anifah turut berbuat demikian pada Rabu.

Jalaluddin berkata, beliau tidak boleh keluar parti kerana beliau merupakan produk Umno.

"Saya akan berpegang teguh pada prinsip saya untuk mempertahankan parti dalam apa jua keadaan.

"Saya bukan pengecut dan tidak akan mengkhianati Umno, yang telah berkhidmat kepada rakyat sejak 72 tahun lalu, hanya kerana Barisan Nasional (BN) kalah dalam pilihan raya umum 9 Mei," katanya.

Jalaluddin Alias

Artikel Lain