suria

Terbongkar tiga restoran di Sungai Buloh jual arak 'beracun'

Dua anggota MBSA memasang pita dilarang masuk di hadapan premis yang menjual arak yang telah mengorbankan hampir 19 orang di kawasan Sungai Buloh, Rabu. Foto Bernama

SUNGAI BULOH: Siasatan awal terhadap insiden keracunan alkohol membongkarkan tiga restoran di Sungai Buloh yang menjual minuman keras yang tercemar kepada orang awam.

"Kesemua premis tersebut tidak mempunyai lesen dan operasi dijalankan oleh warga asing," kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru negeri Selangor, Ng Sze Han pada sidang media, selepas satu pemeriksaan yang dilakukan oleh polis dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Rabu.

Ia turut dihadiri Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad.

MBSA kemudian menutup kesemua premis berkenaan.

Sze Han berkata, premis di Kampung Baru Sungai Buloh merupakan restoran dibina di atas tapak untuk pertanian.

Beliau menjelaskan bahawa alkohol yang dicampur benda asing itu kebiasaannya dibungkus dalam beg plastik, tetapi ia turut dimasukkan di dalam botol minuman keras yang asli pengeluar yang terkenal bagi mengaburi mata pengguna dan pihak berkuasa.

Katanya, Exco Selangor telah memutuskan untuk mengadakan mesyuarat dengan polis, kastam, pegawai daerah dan Kementerian Kesihatan, bagi mengatasi sebarang penjualan minuman keras haram.

"Saya mahu menasihatkan orang ramai untuk tidak mengambil alkohol, terutama arak berjenama palsu kerana ia berbahaya. Jika anda mahu mengambil (alkohol), beli daripada premis yang berdaftar yang mempunyai pelekat kastam dan pelekat duti pada produk tersebut," katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, mereka telah menjalankan 12 sebuan di Lembah Klang dan menahan tujuh suspek.

Pada Selasa, seramai 19 lelaki maut, manakala 14 lagi dimasukkan ke hospital dan berada dalam keadaan kritikal, disyaki keracunan alkohol.

Mereka merupakan antara 51 lelaki yang mengambil tiga minuman keras berjenama, yang dibeli daripada beberapa premis di Lembah Klang pada Isnin. - The Star

arak, minuman keras, alkohol

Artikel Lain