suria

Guarana bakal lonjak nama Malaysia, hasilkan produk saingi tepung gandum

Tepung guarana sudah mendapat permintaan tinggi dari luar negara.

KUALA LUMPUR: Malaysia bakal menjadi negara pengeluar tepung guarana pertama di dunia apabila produk alternatif kepada tepung gandum itu mula memasuki pasaran awal tahun depan.

Menurut Pengarah Urusan Ritz Corporate Holding Berhad, Datuk Ibrahim Yahaya, walaupun tepung guarana belum berada di pasaran, pihaknya sudah menerima tempahan awal dalam jumlah yang tinggi dari luar negara.

“Tepung ini, Insya-Allah akan dipasarkan awal tahun depan kerana kita sudah mendapat tempahan pre order yang tinggi untuk fasa pertama.

“Permintaan dari Hong Kong dan China sahaja sudah mencecah 3 bilion. Kanada pula jangkaan kasar dalam 7 bilion, semua jumlah permintaan itu dalam mata wang ketiga-tiga negara terbabit,” katanya dalam satu temubual eksklusif bersama mStar Online baru-baru ini.

Bukan itu sahaja, Ibrahim mendedahkan Amerika Syarikat (AS) juga sudah menyatakan minat untuk menjadi pengedar tunggal produk tersebut di negara berkenaan.

“Amerika Syarikat sekarang ini hanya tunggu kita dapat pelepasan daripada kerajaan sahaja. Proses untuk dapat kelulusan ambil masa tapi segalanya berjalan dengan lancar setakat ini, kita ikut prosedur operasi standard (SOP),” katanya.

Ibrahim menunjukkan daun pokok guarana semasa lawatan ke ladang tanaman herba itu di Brazil baru-baru ini.

Walaupun permintaan memberangsangkan, Ibrahim turut menyatakan kebimbangan mengenai stok bekalan tepung itu sebelum ia dieksport ke luar negara dalam tempoh lima bulan lagi.

“Di Kedah pokok guarana sudah mengeluarkan buah… Insya-Allah hasil boleh dituai empat bulan lagi.

“Sekarang ini kita bimbang stok tidak cukup untuk menampung permintaan yang tinggi. Jadi kita terpaksa order buah guarana dari Brazil memandangkan mereka pengeluar utama tanaman herba itu,” katanya.

Namun beliau yakin permintaan tersebut boleh dipenuhi dengan kerjasama Brazil yang memberi lesen eksklusif kepada syarikatnya untuk menanam pokok guarana di Malaysia.

“Kita akan menandatangani perjanjian dengan Brazil yang akan berlangsung bulan ini mengenai pembinaan kilang memproses tepung guarana di sana.

“Kita sudah ada kilang di Pulau Pinang jadi kita pindah teknologi ke sana. Secara tidak langsung kita akan kuasai pasaran eksport guarana di seluruh dunia,” katanya sambil menambah ketika ini pokok guarana ditanam di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Pahang dan Johor serta akan diperluaskan ke beberapa negeri lain.

“Ladang terbesar terletak di Kelantan dengan keluasan tanah kira-kira 20 hektar yang diusahakan pekebun kecil,” katanya.

Jalur gemilang berkibar megah di bumi Brazil semasa lawatan ke ladang guarana baru-baru ini.

Mengulas mengenai khasiat tepung guarana, Ibrahim berkata, produk itu bebas gluten, 100 peratus organik, memiliki zat besi, tinggi kalsium dan DHA.

Malah ia juga boleh digunakan untuk menghasilkan kek dan kuih selain harganya yang sama dengan tepung gandum.

“Selepas ini kita tak perlu risau jika stok tepung gandum berkurangan kerana kita ada tepung guarana yang mempunyai lebih khasiat tersendiri.

“Kita dah buat kek, roti, pasta dan mi menggunakan tepung ini dengan bantuan chef terkemuka. Hasilnya amat memuaskan.

“Uniknya apabila kita buat jemput-jemput pisang guna tepung ini pada waktu pagi ia masih lagi rangup sampai ke petang,” katanya yang menjalani kajian dan pembangunan selama tiga bulan bagi menghasilkan tepung berkhasiat itu.

Jelas Ibrahim, tepung guarana dihasilkan menerusi biji tumbuhan herba ajaib itu yang boleh dituai dua kali setahun pada tahun kedua.

Para pekerja sedang menuai biji guarana.

“Tahun pertama hasilnya ambil masa 14 bulan untuk dituai. Tahun kedua setiap enam bulan akan keluar hasil.

“Ini bermakna pekebun-pekebun kecil setahun dapat RM3.6 juta. Penanaman pokok guarana ini secara tidak langsung dapat mengubah nasib mereka,” katanya.

Beliau berkata pokok guarana sesuai ditanam di negara ini kerana faktor iklim Khatulistiwa yang menyamai cuaca di Brazil.

“Brazil dan Malaysia berada di tengah-tengah garisan Khatulistiwa. Getah pun asal usulnya dari Brazil. Jadi kita bina satu lagi sejarah baharu melalui pokok guarana yang mampu memberi impak ekonomi lebih bagus daripada getah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata daun guarana juga dipercayai berupaya merawat kanser serviks dan mengurangkan ketagihan di kalangan penagih dadah.

“Kajian di makmal oleh seorang profesor dari Universiti Sains Malaysia (USM) membuktikan air rebusan daun guarana mampu mencegah kanser serviks. Apabila kita minum ia dapat bunuh sel kanser dalam badan.

“Kita juga dah cuba terhadap penagih dadah di mana ketagihannya semakin berkurangan. Sekarang kita tengah hantar analisis ke makmal. Apabila keputusan bertulis keluar nanti, seluruh dunia akan nampak Malaysia,” katanya.

Biji guarana yang berbentuk seakan-akan mata sudah keluar dari kulitnya dan sedia untuk dituai.

Guarana atau nama saintifiknya, Paullinia cupana adalah sejenis pokok herba yang berasal dari Venezuela dan utara Brazi.

Pokok guarana mengeluarkan daun yang lebar dan berjambak bunganya, dan terkenal dengan buahnya yang sebesar biji kopi.

Ibrahim turut memberitahu pihaknya menjadikan penanaman pokok guarana sebagai satu platform untuk membantu mengurangkan bebanan hutang negara.

“Saya yakin kita dapat bantu kurangkan hutang negara dalam tempoh dua tahun akan datang. Ini salah satu inisiatif syarikat kerana kita sayangkan negara kita. Keadaan hutang terlalu tinggi ketika ini.

“Jadi kita fokus kurangkan debit negara. Setakat ini permulaan dengan China masih di peringkat rundingan. Saya akan bertemu dengan presiden China selepas ini… tengah tunggu tarikh dari mereka,” katanya.

tepung guarana

Artikel Lain