suria

Siapa ‘budak-budak kecil’ nak persoalkan kesetiaan saya?

PETALING JAYA: Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyelar individu yang mempersoalkan kesetiaannya terhadap Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan menggelar mereka sebagai ‘budak-budak kecil’ yang tidak memahami perjuangan reformasi sebenar.

Timbalan Presiden PKR itu berkata selama ini beliau hanya bersabar dan mengambil pendirian untuk tidak ‘menyerang’ semula individu terbabit meskipun tindakannya itu dipersoalkan.

“Ada budak-budak kecil dua, tiga kerat nak persoalkan kesetiaan saya, saya sabar… saya tidakpun serang mana-mana individu sehingga orang kata Azmin kamu terlalu diam.

“… tetapi pepatah Melayu menyatakan diam-diam ubi berisi, jangan jadi seperti tin kosong, riuh satu kampung tidak ada isi pun,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Cabang Keadilan Perdana Selangor 2018 di sini, Ahad.

Menurut Mohamed Azmin, ‘budak-budak kecil’ itu juga masih ‘mentah’ dalam perjuangan reformasi tidak seperti beliau dan pemimpin lain yang terpaksa menempuh pelbagai pengalaman pahit dan getir sebelum ini.

“Bila bercakap soal reformasi tahun 1998, 1999, 2000 saya dipukul, dihina. Ketika PKR masih baru di Sarawak, saya beli penyapu, kopak pintu kedai dan cuci lantai nak siapkan bilik gerakan demi nak bina PKR di Sarawak. Mana ‘budak-budak kecil’ masa itu? 1998 dia pun tidak ada lagi, yang ada pun lari ke Australia, ke Jakarta (Indonesia) dan orang ini sekarang nak bercakap soal reformasi.

“Saya bukan marah tapi dalam keghairahan berkempen serahkan fakta kebenaran jangan maki hamun, jangan fitnah. Ya, saya ada kelemahan, boleh tegur… mari kita bekerjasama perkukuh parti. Reformasi bukan milik ‘Sdn Bhd’, reformasi adalah milik rakyat, 10 tahun kita berjuang dan saksikan beberapa kemenangan daripada dua negeri sekarang dapat Putrajaya, jadi buat kerjalah,” katanya.

Sehubungan itu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu menyeru semua pihak supaya tidak memecahkan perpaduan yang cukup utuh dalam PKR.

Beliau yang akan mempertahankan jawatan timbalan presiden pada pemilihan PKR tahun ini juga percaya anggota parti akan memilih pemimpin yang telah diuji dan teruji dalam usaha memperkukuhkan lagi parti berbanding sebelum ini.

“Dengan kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, saya lama dengan beliau, 14 tahun bermula di Kementerian Pendidikan, Kementerian Kewangan sehingga ke Jabatan Perdana Menteri, saya yakin gabungan ini akan dapat angkat martabat anggota PKR dan memperkukuh kerajaan,” katanya.

Pemilihan PKR yang dijadualkan berlangsung dari 14 September hingga 13 Oktober depan, menyaksikan Mohamed Azmin bakal dicabar naib-presiden parti Rafizi Ramli sementara Anwar menang tanpa bertanding kerusi presiden PKR selepas tempoh pencalonan ditutup pada 5 Ogos lepas. - Sinar Harian

Azmin Ali, PKR, Reformasi

Artikel Sebelum

Bukan mudah jadi PM sekarang

Artikel Lain