suria

"Kita akan berpeluk balik kerana kita tidak terluka"

SEREMBAN: Bertanding dalam suasana adik-beradik, ikhlas berjuang untuk parti dan tidak berdendam dapat memastikan calon-calon yang bertembung di peringkat cabang pada pemilihan PKR akan datang, kekal bersatu.

Naib Presiden PKR Rafizi Ramli berkata ramai calon menawarkan diri untuk bertanding di peringkat cabang khususnya di Negeri Sembilan dan ia merupakan petanda baik dalam demokrasi namun mereka yang kalah harus kekal bersatu dalam parti demi memastikan parti terus kukuh.

“Kalau pemilihan yang lepas tidak ramai yang bertanding di peringkat cabang untuk Negeri Sembilan kerana dahulu kita belum menang tetapi hari ini kita sudah menang maka ramai yang bertanding.

“Apa pun bertandinglah dalam suasana adik-beradik dan demi sayang kita pada parti dan ikhlas maka menang kalah berapa penjuru sekalipun, lepas itu kita akan berpeluk balik kerana kita tidak terluka...

“Yang jadi masalah kalau bertanding secara kasar, potong memotong dan guna wang, kita akan terluka,” katanya pada sesi debat dalam program Penerangan Reformasi 20 tahun anjuran Angkatan Muda Keadilan di sini, Sabtu.

Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh dan Menteri Besar Aminuddin Harun.

Rafizi, calon Timbalan Presiden PKR berkata apa yang penting adalah untuk menjaga parti dan tawarkan khidmat kepada masyarakat dan memegang teguh pada ideologi bahawa kita masuk parti Keadilan (PKR) untuk membawa perubahan lebih baik kepada rakyat.

“Jika kita mampu laksanakan ini (kalah tetap bersatu) maka pertembungan yang berlaku di peringkat cabang di negeri ini akan menjadi kekuatan buat parti dan menjadi contoh kepada negeri lain sekaligus kekal menang dalam pilihan raya akan datang,” katanya.

Pada pemilihan PKR kali ini, jawatan Ketua Cabang PKR Rembau menyaksikan pertembungan lima penjuru.

Sementara itu, Fuziah, calon Ketua Wanita PKR, dalam sesi debat menzahirkan harapannya untuk membina wanita progresif dan menarik seramai mana wanita muda dan wanita profesional serta melatih mereka agar hasrat 30 peratus penyertaan wanita di semua peringkat pembuat dasar dan keputusan, dapat dizahirkan. - BERNAMA

Rafizi Ramli, PKR

Artikel Berikut

Artikel Lain