suria

Sah rompak jika belanja RM18 bilion di luar belanjawan

Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai.

SHAH ALAM: Dakwaan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bahawa kerajaan sebelum ini menyalahgunakan RM18 bilion daripada RM19.4 bilion bayaran balik GST yang telah dikutip sejak sistem itu diperkenalkan mungkin berasas.

Penganalisis ekonomi, Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, ia bergantung kepada penggunaan jumlah wang berkenaan (RM18 bilion) yang telah dipindahkan ke dalam Kumpulan Wang Amanah Disatukan Kerajaan.

Menurutnya, sekiranya wang berkenaan telah digunakan kerajaan pusat sebelum ini (BN) untuk perbelanjaan yang telah diperuntukkan dan diluluskan dalam belanjawan sebelum ini, wang berkenaan tidak sepenuhnya ‘hilang’.

“Tapi kalau digunakan untuk perbelanjaan yang tidak dibelanjawankan seperti kerajaan buat keputusan nak PRU, buat keputusan naikkan BR1M dan pembayarannya tiada dalam belanjawan, itu baru satu rompakan sebab salah guna wang untuk perkara yang tidak dibelanjawankan,” katanya.

Barjoyai berkata, dalam isu dakwaan ‘rompakan’ berkenaan, sewajarnya perkara berkenaan tidak berlaku memandangkan bagi wang tuntutan cukai GST oleh peniaga ini wujud akaun kredit cukai input.

Menurutnya, bagi memastikan sistem pulangan wang cukai kepada peniaga berkenaan mantap serta dapat dipercayai, akaun kredit cukai input berkenaan telah diperkenalkan dan diuruskan oleh Kastam.

“Sepatutnya dalam masa 14 hari, Kastam patut bayar balik semua tuntutan kredit daripada syarikat yang telah membayar GST terdahulu. Tetapi Kastam tidak mampu membayar balik jumlah tuntutan berkenaan memandangkan wang kutipan cukai telah dipindahkan ke dalam Kumpulan Wang Amanah Disatukan Kerajaan.

“Memang benar kesemua kutipan hasil pendapatan negara boleh dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Amanah Disatukan kerajaan, namun bukanlah membabitkan akaun kredit cukai input GST yang merupakan milik peniaga yang membuat tuntutan,” katanya.

Barjoyai berkata, wujud kegagalan dari segi mengawal wang berkenaan oleh Kastam, bagaimanapun persoalan utamanya ialah mengapa Kastam membenarkan wang berkenaan digunakan oleh kerajaan pusat.

“Adakah berlaku ‘compromise’ dalam pentadbiran Kastam sebelum ini sehingga menyebabkan wang akaun kredit cukai input digunakan pula untuk perbelanjaan kerajaan ataupun mungkin salah tanggap Kastam yang memikirkan wang ini sebahagian daripada pendapatan cukai GST.

“Perkara ini (‘rompakan’ RM18 bilion GST) sepatutnya tak boleh berlaku. Bagaimanapun terdapat beberapa kemungkinan perkara ini berlaku iaitu kita masih baru melaksanakan GST dan Kastam masih lagi tidak memahami kedudukan wang kredit cukai input,” katanya.

Menurutnya, Kastam tidak memahami sama ada, wang berkenaan patut diserahkan kepada Perbendaharaan atau pun patut disimpan terus oleh Kastam kerana perlu dipulangkan kembali kepada peniaga.

“Kemungkinan keduanya, Kastam masih ragu-ragu kredit yang dituntut peniaga betul atau tidak. Peniaga-peniaga yang buat tuntutan kredit ada banyak syarat untuk ditepati dan bukti-bukti dokumen beli input dan jual balik barang.

“Peniaga-peniaga ini tak dapat beri bukti setakat satu tempoh kerana itu Kastam anggap wang berkenaan hasil kerajaan dan tak anggap jumlah kredit yang perlu dibayar balik kepada peniaga,” katanya.

Menurutnya, selain itu ada juga pertimbangan untuk tidak menyalahkan Kastam sepenuhnya.

“Berkemungkinan Perbendaharaan beri pengesahan semua wang dikutip Kastam boleh dimasukkan ke dalam akaun Kumpulan Wang Amanah Disatukan Kerajaan dan Kastam perlu melakukan seperti apa yang diperintahkan.

“Kita kena lihat rantaian keputusan untuk meletakkan kesalahan ‘rompakan’ ini ke atas siapa. Siapa yang buat keputusan memindahkan wang dari akaun kredit cukai input kepada Kumpulan Wang Amanah Disatukan Kerajaan,” katanya.

Menurutnya, sememangnya wang berkenaan (RM18 bilion) telah tiada dan kerajaan hari ini perlu mencari wang untuk memulangkan kembali kepada peniaga. - Sinar Harian

GST, rompakan

Artikel Sebelum

Artikel Lain